Searching...
Wednesday 2 May 2012
01:35 0

Selamat tinggal Pilih Kasih



ROSYAM sendiri tidak tahu adakah Pilih Kasih akan kembali diterbitkan pada masa akan datang.



TIGA musim program realiti yang mencungkil bakat baharu dalam bidang lakonan, Pilih Kasih bersiaran di kaca televisyen dan kemenangan Reen Rahim sebagai juara Pilih Kasih 3 sudah diketahui umum.
Kini, peserta-peserta program itu akan meneruskan kelangsungan mereka dalam industri seni tanah air dan terpulang kepada mereka sendiri untuk mencorakkannya.
Namun, timbul persoalan kenapa hayat program tersebut hanya sampai ke tahap tiga musim? Adakah Pilih Kasih tidak mampu dalam menarik minat audiens atau ada agenda lain yang sedang difikirkan penerbit eksekutifnya, Rosyam Nor?
Menjawab persoalan itu, Rosyam nyata sudah bersedia dengan jawapannya ketika ditemui pada majlis makan malam Pilih Kasih 3 di Holiday Villa Subang, Selangor, baru-baru ini.
Kosmo!: Kenapa Rosyam membuat keputusan untuk menamatkan program Pilih Kasih selepas hanya tiga musim bersiaran?
ROSYAM: Sejak pelancaran Pilih Kasih 3 lagi saya sudah hebahkan bahawa ini musim terakhir program Pilih Kasih. Kita sudah hasilkan 56 orang peserta yang saya yakin mampu mewarnai industri hiburan tanah air. Saya tak tahu bila lagi program ini akan diterbitkan lagi.
Ada pihak yang mengatakan Rosyam sekadar lepas tangan selepas peserta-peserta Pilih Kasih keluar daripada rancangan itu. Komen Rosyam?
Memang daripada awal lagi produksi Pilih Kasih tidak akan menjaga atau menjanjikan 100 peratus karier kepada mereka selepas tamat program ini. Selepas Pilih Kasih berakhir, saya dan pihak produksi tidak ada lagi sebarang komitmen dengan mereka.
Adakah Rosyam sudah ada perancangan lain apabila memilih untuk menamatkan program Pilih Kasih?
Insya-Allah akan ada rancangan realiti lain pada tahun depan. Semua masih dalam peringkat perbincangan buat masa sekarang. Mungkin saya akan bekerjasama dengan stesen televisyen swasta.
Ada juga pihak yang mengatakan bahawa Pilih Kasih merupakan sebuah program yang tidak bermanfaat, sampah dan sia-sia. Komen Rosyam?
Saya tak kisah apa yang orang cakap pasal Pilih Kasih. Saya tahu apa yang saya buat selama tiga tahun dan penat lelah saya adalah serius! Program saya bukan sampah dan saya sudah jayakan dengan bersungguh-sungguh!
Sejauh mana keyakinan Rosyam terhadap artis keluaran Pilih Kasih?
Hanya 20 peratus daripada peserta Pilih Kasih tidak terlibat dalam industri, selebihnya kini sudah menceburi bidang ini.
Harapan Rosyam terhadap juara Pilih Kasih 3, Reen Rahim?
Reen ada pakej dan sejak awal Pilih Kasih 3 lagi dia sudah menunjukkan penguasaan dan kelihatan menonjol berbanding peserta lain. Harap dia dapat berlakon dengan pelakon popular dalam menaikkan lagi popularitinya. Dalam erti kata lain, dia harus menumpang populariti pelakon yang sudah terkenal.
Bagaimana pula dengan peserta-peserta lain?
Harap peserta-peserta lain juga boleh berhubung baik dengan guru-guru mereka dalam industri dan menggunakan ilmu yang telah diajar. Populariti perlu seiring dengan kerja (lakonan) yang baik! Saya akui tiga bulan tidak cukup untuk mereka menimba ilmu pengetahuan seni, saya sendiri mengambil masa 13 tahun untuk sampai ke tahap ini. Paling tidak, gunakan ilmu yang ada sedikit itu.
Harapan Rosyam terhadap syarikat penerbitan filem atau drama?
Jangan sandarkan harapan yang terlalu tinggi kepada peserta Pilih Kasih kerana mereka masih baharu dalam industri.
Apa perkembangan terkini Rosyam?
Saya akan memulakan penggambaran filem aksi berjudul Balistik 0.45 arahan Silver Cheng menjelang 30 Jun ini. Filem itu bakal menggandingkan saya dengan Rita Rudaini. Ia merupakan kerjasama dengan Film Engine. Jika tiada aral melintang, saya akan menerbitkan empat buah filem pada tahun ini. Selain Balistik 0.45, filem lain termasuklah Selepas Badar, Kekasih dan Phee Lam Lee.
Satu langkah yang sangat berani untuk menerbitkan sehingga empat buah filem. Mungkin Rosyam ada sasaran sendiri?
Dua tahun lepas saya ada umumkan mahu hasilkan filem. Pada mulanya bimbang juga sebab kutipan filem sekarang teruk ditambah pula dengan masalah cetak rompak. Namun, ketiga-tiga filem saya itu merupakan filem bajet rendah tapi saya memberi jaminan daripada segi kualiti. Saya target untuk mengeluarkan sebuah filem setiap bulan pada tahun 2014, jadi untuk tahun itu saja akan ada 12 filem daripada Suhan.

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...