Searching...
Wednesday 2 May 2012
01:44 0

Portugal mahu bukti kehebatan



SEBUT sahaja Portugal, pastinya ramai peminat bola sepak seluruh dunia berasa kagum dengan kualiti 'produk' kelahiran negara tersebut sejak berkurun lamanya.
Bermula dengan era Eusebio (1966), Luis Figo (2000) dan terkini Cristiano Ronaldo, 'jenama' The Navigators dalam mewarnai pentas bola sepak dunia ternyata tidak lagi perlu diperkenalkan.
'Indah khabar daripada rupa', ia begitupun tidak seiring dengan pencapaian Portugal tidak kira di pentas dunia mahupun Eropah.
Percaya atau tidak, pencapaian terbaik mereka di pentas Piala Dunia hanyalah di peringkat separuh akhir iaitu pada tahun 1966, selain hanya mampu muncul naib juara saingan Kejohanan Bola Sepak Eropah (Euro) 2004, itupun ketika menjadi tuan rumah.
Disebabkan itu, jurulatih Portugal, Paulo Bento pastinya 'memerah otak' habis-habisan bagi merencana formula yang terbaik buat pasukannya melakar kehebatan dalam saingan Euro 2012 di Poland dan Ukraine pada Jun depan.
Diundi bersama beberapa gergasi Eropah dalam Kumpulan B seperti Jerman dan Belanda kali ini, ia begitupun bukan satu tugas yang mudah buat Bento yang mula mengendalikan Portugal sejak Oktober 2010.
"Sebagai jurulatih, kemampuan mereka mengatur strategi yang berjaya diterjemahkan pemain adalah kunci utama kejayaan pasukan.
"Apabila anda memiliki rangkaian pemain yang hebat, tugas anda menjadi lebih mudah namun ia tidak bermakna anda akan muncul juara.
"Sebagai jurulatih, saya hanya mahu Portugal muncul juara pada Euro kali ini, sekali gus menamatkan 'badi' yang mengatakan kami hanya pasukan yang 'sekadar indah daripada rupa'," kata Bento.
Untuk rekod, Portugal yang diterajui Eusebio pada pentas Piala Dunia 1966 berjaya menjinakkan gergasi bola sepak, Brazil dengan keputusan 3-1 di peringkat kumpulan sebelum terpaksa akur dengan kehebatan England apabila tumpas 1-2 di peringkat separuh akhir.
Sementara bagi aksi Euro 2004 pula, harapan skuad emas Portugal yang dilihat berada di trek yang betul untuk muncul juara tiba-tiba terkubur apabila dikejutkan pasukan kerdil, Greece di pentas final.
Dalam pada itu, kredibiliti Bento juga mendapat pujian pemain pertahanan, Pepe yang kini beraksi bersama gergasi Sepanyol, Real Madrid.
"Saya sukakan Bento, beliau adalah seorang jurulatih yang tahu apa yang difikirkan pemain dalam setiap perlawanan.
"Di bawah tunjuk ajar Bento, saya percaya Portugal kini di trek yang betul untuk muncul juara," katanya.
Malah kata Pepe, kredibiliti kapten, Ronaldo yang kurang menyinar ketika beraksi bersama Portugal juga tidak harus dipertikaikan.
"Ronaldo adalah pemain yang cukup bertanggungjawab.
"Cuba anda bayangkan perasaan anda menjadi kapten ketika masih berusia 18 tahun seperti Ronaldo, sudah tentu tekanannya cukup besar.
"Saya percaya, Ronaldo mampu beraksi dengan cukup baik dalam Euro kali ini kerana dia cintakan Portugal seperti mana kami," katanya.
Selain Pepe dan Ronaldo, tugas Bento mengemudi Portugal dalam pentas Euro kali ini juga dilihat dipermudahkan dengan kehadiran bintang Manchester United, Nani.
Pada kejohanan edisi 2008 sebelum ini, Nani yang ketika itu baharu sahaja berusia 22 tahun dilihat masih mentah dan hanya diturunkan dalam satu perlawanan sahaja.
Namun, dia kini berjaya membuktikan kredibilitinya selaku pemain utama The Red Devils sebaik Ronaldo membuat keputusan untuk berhijrah ke Real.
"Saya semakin matang dan telah belajar daripada kesilapan lalu. Kali ini, saya mahu beraksi dalam setiap perlawanan termasuk perlawanan akhir," kata Nani.
Persoalan sama ada Portugal mampu menamatkan badi tersebut ataupun tidak, sama-sama kita tunggu dan lihat. - Agensi

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...