Searching...
Tuesday 1 May 2012
19:01 0

Maut Tertimbus Tanah Bersama Jengkaut


“Anak sempat membawa pulang dua bungkus nasi lemak sebelum kejadian,” demikian kata Safinah Yaacob, 55, ibu kepada mangsa, Mohd Amri Sidek, 26, yang terbunuh dalam satu kejadian tanah runtuh di Bukit Lubuk Kolah, Undang dekat Marang, di sini, semalam.

Dalam kejadian berlaku lebih kurang jam 5 petang itu, mangsa sedang melakukan kerja memindahkan tanah bukit untuk dibawa keluar dari kawasan bukit berkenaan meninggal dunia selepas jengkaut yang dikendalinya ditimbus runtuhan tanah.


Akibat kejadian itu, mangsa yang bekerja seorang diri ketika itu terperangkap di dalam jengkaut dan disahkan meninggal dunia apabila dikeluarkan dari jentera berat itu oleh sekumpulan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Marang dan Wakaf Tapai.

Menceritakan kejadian itu, seorang saksi juga merupakan pemandu lori, Mohd Hamidi Jalil, 23, berkata, dia tiba di tempat kejadian lebih kurang jam 5.10 petang dan sebaik keluar dari lori yang dipandunya dia melihat kenderaan berat itu sudah ditimbus tanah.

“Saya bersama seorang rakan kemudiannya segera memaklumkan kejadian itu kepada penduduk berdekatan sebelum ada pihak yang menghubungi pihak berkuasa,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, semalam.

Sementara itu, ibu mangsa, Safinah berkata, Mohd Amri merupakan anak sulung daripada 11 beradik dan mereka tinggal bersama di Kampung Padang Mengkuang, Bukit Payong.

Menurutnya, arwah pulang berehat di rumah sebelum keluar bekerja semula tengah hari semalam dan membawa pulang dua bungkus nasi lemak sebelum keluar bekerja semula ke kawasan bukit kampung itu lebih kurang jam 1.50 tengah hari.

“Selain sempat membawa pulang dua bungkus nasi lemah, arwah ada mengatakan sesuatu tetapi mak cik tidak faham, kata-kata terakhir yang mak cik dengar dari mulut nya adalah ‘tak apalah kalau tak faham’ lalu dia keluar menyambung kerjanya.

“Mak cik juga tidak menyangka kejadian seperti ini menimpanya kerana sebelum ini arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan tingkah laku walaupun akhir-akhir ini sering bercakap mengenai sesuatu yang tidak difahami,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.



Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian itu, bagaimanapun berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan mengenai kejadian berlaku di sempadan Marang da.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Marang, Zamri Awang Long berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.22 petang sebelum bergegas ke tempat kejadian bersama 14 anggota dari dua buah balai bomba.

Menurutnya, pihaknya mengambil masa lebih kurang satu jam untuk mengeluarkan mangsa yang terperangkap di dalam jengkaut selepas jentera berat itu tertimbus akibat runtuhan tanah di kawasan Bukit Lubuk Kolah, Undang dekat daerah Marang di sini.

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...