Searching...
Wednesday 18 April 2012
23:39 0

‘Sagu Hati Kesedihan’ Untuk Keluarga Mangsa Bunuh



KOTA BHARU – Kerajaan Pas Kelantan akan memberi ‘sagu hati kesedihan’ sekurang-kurangnya RM10,000 kepada keluarga mangsa kes bunuh yang berpunca daripada perbuatan orang kurang siuman di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, keluarga terbabit biasanya tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya kerana sipelaku tidak dihukum di mahkamah.

Katanya, cadangan pemberian sagu hati itu dikemukakan oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai tanda prihatin kerajaan negeri kepada waris mangsa termasuk yang berasal dari luar negeri ini.

“Banyak berlaku kes pembunuhan melibatkan orang tidak siuman tetapi tertuduh akhirnya disahkan tidak waras oleh pihak hospital dan setelah mendapat Pengampunan Diraja, dia akan bebas.

“Jadi apa yang berlaku kepada keluarga simati ? Mereka hendak saman orang itupun tidak boleh sebab dia gila, nak dapatkan apa-apa pampasan pun tidak boleh seperti ‘diyat’ yang diperuntukkan dalam hukum Islam.

“Justeru kerajaan negeri mengambil `roh’ daripada peruntukan Islam itu dan membuat dasar ‘sagu hati kesedihan’ kerana keluarga simati memerlukan pembelaan,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Takiyuddin berkata, beliau dan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi negeri, Dr. Mohamed Fadzli Hassan dipertanggungjawabkan membuat kertas kerja bagi memperhalusi pelaksanaan dasar itu.

Beliau berkata, walaupun kes bunuh berkait orang kurang siuman tidak banyak berlaku di negeri ini, kebajikan keluarga mangsa tetap perlu diberi perhatian.

“Jumlah RM10,000 itu tidak akan membebankan kerajaan kerana kes pun tidaklah banyak, kalau isteri mangsa bunuh itu tidak bekerja sekurang-kurangnya ia boleh meringankan beban mereka sedikit,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...