Searching...
Sunday 1 April 2012
15:45 0

Reputasi Nicol tiada tandingan

NICOL dan Omar memegang trofi masing-masing selepas menjuarai
Terbuka KL CIMB Nicol David di Berjaya Times Square semalam.


RATU skuasy negara, Datuk Nicol David mengukuhkan statusnya sebagai pemain wanita No. 1 dunia apabila merangkul gelaran juara Kejohanan Skuasy Terbuka KL CIMB Nicol David di gelanggang kaca Berjaya Times Square, Kuala Lumpur semalam.

Nicol yang mendapat sokongan padu peminat tempatan di ruang legar pusat beli-belah terkemuka itu, mudah mengetepikan cabaran pemain No. 10 dunia, Annie Au dari Hong Kong dalam aksi final dengan kemenanganstraight set 11-4, 12-10, 11-9.

Ia merupakan gelaran kelapan yang dimenangi pemain kelahiran Pulau Pinang itu pada kejohanan tersebut yang kini dikenali dengan namanya sendiri sebagai penghormatan terhadap pencapaian Nicol yang menakjubkan dalam Persatuan Pemain Skuasy Wanita Dunia (WSA).

"Sudah tentu saya berasa sangat gembira sekali kerana berjaya menjuarai kejohanan ini buat kali kelapan dan lebih manis kejohanan ini juga telah diubah kepada nama saya dan ia sesuatu yang amat istimewa.

"Saya juga amat menghargai sokongan para penyokong Malaysia yang setia memenuhi ruang legar di Berjaya Times Square ini. Saya tujukan kemenangan ini kepada mereka yang hadir di sini," jelas Nicol selepas tamat perlawanan semalam.

Begitupun, Nicol menjelaskan bahawa kemenangannya ke atas Annie semalam bukannya mudah, apatah lagi pemain berusia 23 tahun itu bangkit memberi tentangan sengit pada set kedua dan ketiga.

"Kemenangan saya hari ini (semalam) sebenarnya bukan mudah. Selepas menang set pertama, Annie jelas sekali mempamer kebangkitan pada set kedua dan ketiga menyebabkan saya ketinggalan kepadanya.

"Apa yang saya boleh buat ketika itu ialah hanya terus memberi tumpuan dan cuba mengutip mata demi mata serta bermain dengan tenang.

"Selepas itu, saya mula mendapat keyakinan dan kembali menguasai permainan. Apa pun, Annie juga beraksi dengan baik dan dia juga seorang pemain yang berpengalaman.

"Jadi gembira sekali kerana kami dapat mempamerkan satu perlawanan yang menarik kepada penonton," tambahnya yang turut muncul juara edisi 2000, 2002, 2005, 2007, 2008, 2010 dan 2011.

Selaku juara, Nicol membawa pulang hadiah kemenangan bernilai AS$11,400 (RM34,906), manakala Annie pula AS$7,800 (RM23,883).

Sementara itu, pemain Mesir, Omar Mosaad menjuarai aksi final lelaki dengan menewaskan pemain England, Adrian Grant 11-6, 12-10, 12-14, 6-11, 11-8.

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...