Searching...
Sunday 22 April 2012
22:42 0

Permohonan BRIM Tidak Dilanjut Selepas 30 April



IPOH – Pemohon yang gagal mendapatkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) digesa supaya mengemukakan rayuan selewat-lewatnya 30 April ini kerana ia tidak akan dilanjutkan selepas tempoh tersebut.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, ia bagi memberi ruang kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menguruskan urusan percukaian setelah tempoh rayuan BR1M dilanjutkan selama tiga bulan mulai 15 Januari lalu.

“Sehingga 17 April ini, sebanyak 4,327,818 orang atau 86.1 peratus permohonan BR1M telah diluluskan termasuk Orang Asli. Jumlah ini adalah termasuk kelulusan rayuan iaitu sebanyak 282,605 penerima.

“Dari tempoh 15 Januari lalu hingga 17 April ini juga, sebanyak 333,241 rayuan telah diproses. Kerajaan juga telah bersetuju menetapkan tarikh sah laku baucar BR1M sehingga 15 Mei depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Silaturrahim dan Pusat Khidmat Bergerak Barisan Nasional (BN) Parlimen Tambun di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Datuk Nadzri Ismail dan ADUN Ulu Kinta, Datuk Rusnah Kassim.

Pada majlis tersebut, Husni yang juga Ahli Parlimen Tambun turut menyampaikan sumbangan dermasiswa dan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) kepada beberapa wakil ibu bapa dan pelajar di kawasan tersebut.

Dalam pada itu, Ahmad Husni berkata, proses pemurnian senarai penerima BR1M melibatkan mereka yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan tersenarai dalam E-Kasih juga sedang giat dijalankan.

Beliau menjelaskan, terdapat penerima bantuan JKM serta E-Kasih membuat permohonan BR1M kemudian dilululuskan dan ditolak memandangkan mereka sebenarnya tidak perlu berbuat demikian kerana akan memperolehinya secara automatik.

“Jadi, kita sedang membuat pemurniaan dengan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan setelah selesai, baru kita akan buat pembayaran,” katanya.

Orang ramai yang ingin membuat semakan status permohonan mereka boleh menghubungi talian hotline 1-800-222-500 atau 1-300-88-3010, beroperasi dari pukul 9 pagi hingga 5 petang hari bekerja.


0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...