Searching...
Sunday 22 April 2012
22:43 0

500 IPTS Negara Ini Akan Lumpuh Tanpa PTPTN



PONTIAN – Operasi kira-kira 500 buah Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di negara ini akan lumpuh jika Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) dimansuhkan sebagaimana yang dikehendaki oleh pembangkang.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berkata, ramai di kalangan penuntut IPTS negara ini membiayai pengajian mereka menggunakan pinjaman daripada PTPTN.

“Institusi Pengajian Tinggi Swasta di negara ini hidup di atas dasar adanya PTPTN. Tabung PTPTN merupakan sebab mengapa pelajar-pelajar berada di IPTS,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan An-Nur di Benut, Ahad.

Ktua Penerangan Umno berkata pemansuhan PTPTN akan memberi kesan negatif yang mendalam terhadap perkembangan industri pengajian tinggi tempatan.

Menurut Ahmad, IPTS negara berhadapan dengan kemungkinan ditutup berikutan penuntut tidak memiliki kaedah untuk membiayai kos pengajian tinggi yang keterlaluan dan tidak mampu ditanggung.

Katanya, 20 buah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) negara tidak mampu menyerap keseluruhan penuntut pengajian tinggi di negara ini, jika IPTS yang bergantung kepada kemudahan PTPTN tidak lagi beroperasi.

Beliau berkata, kerajaan di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN) memberikan pendidikan rendah dan menengah secara percuma, manakala kerajaan menanggung 90 peratus daripada kos pengajian tinggi.

“Jika seseorang itu mengambil pengajian perubatan di IPTA yang menelan belanja keseluruhan sebanyak RM200,000, penuntut hanya membelanjakan RM12,000 daripada kos itu manakala selebihnya ditanggung oleh kerajaan,” katanya.

Sehubungan itu, Ahmad yang juga anggota Parlimen Pontian meminta pembangkang yang mahukan PTPTN itu dimansuhkan supaya berfikiran secara menyeluruh dengan mengambil kira faktor-faktor lain dan tidak bermain politik.

“Mereka yang mahukan PTPTN ini dimansuhkan tidak mempunyai pemikiran yang menyeluruh. Jangan terlalu mementingkan diri sendiri,” kata beliau. 


0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...