Searching...
Sunday, 15 April 2012
19:10 0

Perkasa gesa siasat segera




KUALA LUMPUR - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa polis menyiasat berhubung isu beberapa Ahli Parlimen pembangkang yang didakwa mengejek Raja-raja Melayu pada Majlis Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-14, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di Istana Negara, Rabu lalu.

Sebelum itu, satu lapo­ran dibuat Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, tengah hari, semalam.

Syed Hassan ketika ditemui berkata, laporan dibuat selepas beliau membaca artikel dalam sebuah akhbar semalam, berhubung pendedahan Dr Rahman Kadir yang merupakan pegawai perubatan yang bertugas sewaktu majlis istiadat terbabit.

Beliau berkata, kenya­taan Rahman yang mendakwa melihat dan mendengar kela­kuan serta percakapan beberapa Ahli Parlimen pembangkang, mempersendakan bentuk badan pemimpin kerajaan dan raja-raja Melayu sangat mendukacitakan.

Menurutnya, Perkasa menganggap pendedahan itu sebagai perkara yang sangat serius dan jika benar seperti didakwa, ia sangat berbahaya kepada kedudukan institusi beraja negara ini pada masa depan.

“Tindakan Ahli Parlimen pembangkang itu sangat biadab kerana mereka bukan sahaja berani menghina Raja-raja Melayu, malah melakukan perbuatan itu dalam istana ketika majlis pertabalan berlangsung.

“Mereka juga seolah-olah sudah tidak mahukan lagi institusi beraja dalam negara, malah dilihat berupaya menghasut rakyat terutamanya golongan muda untuk menolak sistem tersebut,” katanya, semalam.

Syed Hassan berkata, disebabkan itu pihaknya mendesak polis menjalankan siasatan segera termasuk memanggil pihak yang didakwa melakukan perbuatan tersebut.

“Hal ini tidak boleh diambil mudah kerana kita bimbang jika satu hari nanti, terdapat kemungkinan golongan itu memerintah, tiada lagi lau­ngan ‘Daulat Tuanku’ kedengaran,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menggesa Ahli Parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw dan beberapa Ahli Parlimen lain tampil menafikan atau mengesahkan kejadian yang berlaku.

Katanya, mereka difahamkan berada berdekatan dengan kumpulan Ahli Parlimen pembangkang yang menghina Raja-raja Melayu, baru-baru ini.

“Perkasa bagaimanapun memuji sikap Ahli Parlimen Kepong yang dikatakan tidak terikut-ikut dengan perangai pemimpin-pemimpin muda pembangkang pada hari kejadian,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...