PENGURUS Manchester United (MU), Sir Alex Ferguson mengkritik keputusan pengadil perlawanan yang hanya memperuntukkan empat minit untuk bermain waktu kecederaan ketika pertemuan kelab itu menentang Tottenham Hotspur di Old Trafford, semalam.
Dipetik BBC, beliau menyifatkan empat minit satu ‘penghinaan’ buat pasukannya.
“Mereka hanya memberi kami empat minit waktu kecederaan. Itu satu penghinaan terbesar dalam perlawanan, malah tambahan waktu itu menyebabkan kami tidak kesempatan untuk memenangi saingan tersebut,” kata Ferguson.
Tambah beliau: “Terdapat enam penggantian sepanjang perlawanan ini dan semestinya ia mengambil masa dalam setiap pertukaran.”
“Jadi tidak masuk akal apabila hanya empat minit diberikan pengadil dalam waktu kecederaan.
“Dengan itu, ia jelas berlaku satu kecacatan dalam permainan di mana pengadil tidak tahu untuk menjaga masa,” jelasnya lagi.
Dalam perlawanan tersebut, MU terpaksa akur apabila dikejutkan Tottenham 2-3 untuk membolehkan Spurs mencatat kemenangan buat pertama kali di Old Trafford sejak 1989.
Kekalahan ini juga adalah yang pertama bagi MU di gelanggang sendiri pada 2012 sekali gus menyebabkan anak buah Ferguson menamatkan saingan minggu ini di tangga ketiga, empat mata mengekori pendahulu Chelsea.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kekalahan ini, Ferguson bagaimanapun tidak melatah, malah gembira dengan prestasi anak buahnya terutama Wayney Rooney yang cuba membantu menjaringkan gol.
“Tidak dinafikan malam ini adalah kekecewaan buat MU kerana rekod yang hebat telah berjaya dipecahkan oleh Tottenham.
“Kesilapan yang utama adalah separuh masa pertama. Kami tidak bermula dengan baik malah hilang fokus.
“Tapi pada separuh masa kedua kita hebat, ia adalah prestasi yang hebat ditunjukkan pemain.
“Kita cuma tidak bernasib baik untuk menang, apa-apa pun kami akan memastikan kemenangan milik kami untuk perlawanan seterusnya nanti,” katanya lagi. – SinarHarian
0 comments:
Post a Comment