SEBELUM ini Arrora telah pun memberikan kenyataan yang dia terpaksa membatalkan pertunangannya dengan bekas anggota kumpulan Max 24:7, Alloi kerana jadual kerja yang terlalu padat. Menurut penyanyi ini, pada 9 Jun (semalam) ini dia harus berada di Sabah kerana ada jemputan nyanyian.
Bagaimanapun, alasan yang diberikan oleh Arrora ini macam tidak logik kerana tidak mungkin dia memilih tarikh pertunangan pada hari yang sama dia perlu membuat persembahan di Sabah.
Bagi mendapatkan penjelasan lanjut , media telah menghubungi Arrora dan penyanyi yang popular dengan lagu ‘Ahmad’ ini mengakui pembatalan majlis pertunangannya itu bukanlah semata-mata kerana komitmen kerja. Sebaliknya ia berpunca daripada halangan peribadi yang tidak mampu dijelaskan kepada umum.
“Saya sudah agak isu ini akan timbul apabila saya cakap ia disebabkan komitmen kerja. Pembatalan majlis pertunangan itu bukan semata-mata kerana persembahan, tetapi ia lebih kepada sebab-sebab peribadi. Saya minta maaf kerana tidak dapat menjelaskannya secara terperinci kerana ia terlalu peribadi dan melibatkan pihak ketiga yang sangat rapat dengan saya dan Alloi.
Saya pun tidak sangka perkara ini boleh terjadi di saat-saat akhir. Pada mulanya pihak ketiga itu tidak ada halangan. Walaupun alasan yang diberikan tidak masuk akal, tetapi demi menjaga hati semua pihak, saya dan Alloi setuju untuk membatalkan sahaja majlis pertunangan ini. Kalau jodoh kami berpanjangan, kami akan terus melangsungkan perkahwinan,” ujar Arrora berterus-terang.
Penjelasan yang diberikan Arrora ini seolah-olah membayangkan perhubungannya ditentang oleh pihak keluarga teman lelaki. Lebih-lebih lagi baru-baru ini Arrora telah berpindah keluar dari rumah keluarga Alloi dan kini tinggal bersama keluarganya di Johor Bahru. Apakah benar tanggapan ini?
“Macam yang saya katakan tadi, saya tidak mampu untuk menjelaskan semuanya. Terpulang kepada orang untuk buat spekulasi. Saya memang tidak ada kuasa untuk menutup mulut orang. Namun, ingin saya tegaskan hubungan saya dengan Alloi masih seperti biasa. Kami masih saling mencintai walaupun terpaksa duduk berjauhan,” ujar Arrora lagi.
Dalam masa yang sama, penyanyi tinggi lampai ini juga menafikan pembatalan pertunangannya itu hanyalah sekadar gimik untuk mempromosikan single terbarunya, ‘Kau Tak Menarik Lagi’, ciptaan Panji Sakti. Jelas Arrora, dia tidak memerlukan gimik sebegitu untuk meraih perhatian.
0 comments:
Post a Comment