Searching...
Tuesday 5 June 2012
05:18 0

Kak Pah berehat lima bulan


DUA minggu lepas, industri muzik tempatan dikejutkan dengan berita biduanita negara, Datuk Sharifah Aini yang telah dimasukkan ke hospital kerana jangkitan kuman di paru-paru.

Namun ketika itu, Sharifah Aini atau lebih mesra disapa Kak Pah, tidak memberi sebarang respons terhadap berita tersebut. Perkembangan kesihatan Kak Pah hanya diberitahu melalui laman sosial Facebook oleh rakan baiknya, Khalilah Datuk Mohd. Talha.

Namun, pada konsert separuh akhir Mentor musim keenam yang berlangsung baru-baru ini, Kosmo! berpeluang menemui Kak Pah untuk mendapatkan cerita penuh mengenai keadaan sebenar yang dilalui Kak Pah ketika ditahan di wad sebuah hospital tempoh hari.

Apa yang terjadi pada Kak Pah sehingga dikejarkan ke hospital?

KAK PAH: Sebenarnya saya menghidap jangkitan kuman pada paru-paru. Penyakit tersebut sebenarnya boleh menyerang badan kita secara tiba-tiba dan saya tidak tahu saya telah dijangkiti penyakit tersebut.

Adakah mungkin kerana anda terlampau kuat bekerja?

Ya, saya memang kuat bekerja. Tiga tahun saya tidak berehat daripada melakukan kerja. Ini kerana sejak tiga tahun lepas, saya telah menganjurkan sebanyak tujuh buah konsert dan persembahan. Kini saya terlibat sepenuh masa dengan sebuah syarikat badan bukan kerajaan, Islamic Aid. Jadi saya banyak merantau ke sana dan ke sini untuk menghantar bantuan. Jadi saya rasa saya telah menyeksa diri saya kerana tidak berehat. Badan saya tidak boleh lagi menerima sebarang tekanan.

Bagaimana kondisi anda pada ketika itu? Apa kata doktor?

Saya tidak boleh bernafas. Semasa pergi melakukan gema pengimejan magnetic (MRI), mereka masukkan saya ke wad kecemasan. Paru-paru saya semua sudah berjangkit kuman dan saya dimasukkan ke Hospital Pakar Damansara.

Apabila perkara seperti ini berlaku, mungkin terdetik penyesalan kerana tidak menjaga kesihatan?

Saya terasa (kesal) juga kerana telah menyeksa badan saya. Memang saya terlalu letih.

Adakah Mentor 6 ini merupakan aktiviti terakhir sebelum anda berehat sepenuhnya?
Ya. Selesai Mentor, saya akan berehat selama lima bulan dan perlu penjagaan rapi. Sebenarnya sekarang pun saya sedang menerima rawatan dan setiap lima hari saya perlu ke hospital untuk membuat pemeriksaan menyeluruh terhadap paru-paru saya.

Apa nasihat doktor kepada anda selepas perkara seperti ini berlaku?

Doktor menasihati saya untuk berehat. Saya berada di hospital selama 15 hari dan baru sahaja keluar tadi. (semasa Mentor 6 separuh akhir). Saya tidak pernah dapat rehat yang sebegitu. Dapat tidur, dapat berehat sepenuhnya.

Ada anda terfikir sesuatu yang tidak elok akan berlaku semasa tiba-tiba sakit tempoh hari?

Sejujurnya, bila saya terlalu sakit tempoh hari, rasa seperti mungkin sudah tiba masanya untuk saya pergi. Cuma saya minta pada Allah, agar Aliff dapat pulang untuk imamkan jenazah saya. Itu yang terlintas dalam fikiran saya. Saya reda kerana jika memang betul sudah sampai masanya saya untuk pergi. Namun, Alhamdulillah, saya masih diberikan umur yang panjang.

Mengapa ketika anda masuk hospital, tidak mahu kongsi dengan semua tentang keadaan anda?

Ketika saya berada di Unit Rawatan Rapi, saya tidak mahu orang membuat spekulasi. Apabila cerita ini keluar, mungkin semua akan panik dan itu menambahkan tekanan semua orang. Saya tidak mahu mereka di luar sana terlalu risau akan keadaan saya. Saya juga bukan muda lagi, saya telah pun berumur 58 tahun. Jadi apabila perkara seperti ini berlaku, ia boleh menimbulkan pelbagai reaksi.

Seperti minggu lepas, apa yang memberikan anda kekuatan untuk datang juga menjadi juri ke konsert 

Mentor 6. Walaupun ketika itu, kelihatan tangan anda masih mempunyai jarum yang dicucuk dari hospital?

Sebenarnya, saya sudah tertekan tinggal terlalu lama di hospital. Saya meminta kebenaran untuk hanya keluar selama lima jam. Saya rasa seronok juga kerana saya perlu meninggalkan wad untuk seketika

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...