Searching...
Saturday, 30 June 2012
15:44 0

Boleh Terima Maaf Anzalna Tapi Bersyarat


PETALING JAYA – Pelakon jelita Neelofa yang kini hangat “berperang” dengan seorang lagi artis tempatan bernama Anzalna Nasir bersedia menerima permohonan maaf secara terbuka daripada bintang baru itu tetapi dengan beberapa syarat.

Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, 23, berkata, dia sudah menghantar sepucuk surat melalui Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Zed Zaidi pada Jumaat yang antara lain meminta Anzalna, 24, memenuhi syarat-syarat berkenaan.

“Saya bersedia menerima permohonan maaf terbuka daripada Anzalna kerana kenyataan fitnahnya terhadap saya. Namun sebelum itu, dia perlu menandatangani sepucuk surat yang menyatakan persetujuan terhadap beberapa syarat yang saya tetapkan.

“Surat itu sudah saya serahkan kepada Presiden Seniman, Zed Zaidi pada hari ini (Jumaat). Saya merancang untuk mengadakan sidang media mengenai isu ini pada Ahad,” katanya secara eksklusif kepada mStar Online.

Konflik antara dua aktres itu tercetus ekoran kenyataan Anzalna yang dianggap sebagai satu fitnah oleh Neelofa dalam artikel bertajuk “Anzalna Bidas Neelofa” menerusi akhbar Berita Minggu bertarikh 10 Jun lalu.

Susulan itu, dalam sidang media khas pada 13 Jun, Neelofa melalui peguamnya Ahmad Hidayat Md Nor dan Mohd Irwan Mohd Mubarak telah mengeluarkan notis yang menuntut Anzalna mengemukakan bukti dalam tempoh tujuh hari atas kenyataan yang dikeluarkannya.


Baru-baru ini, Anzalna yang gagal mengemukakan bukti selepas tempoh itu berkata kepada media, dia bersedia memohon maaf secara terbuka kepada Neelofa.

Sementara itu Neelofa berkata, beberapa syarat yang ditetapkan kepada Anzalna dalam surat tersebut adalah sebagai jaminan agar aktres itu memohon maaf secara ikhlas dan bukan kerana terpaksa.

“Saya tidak boleh dedahkan secara terperinci butiran surat itu atas nasihat peguam tetapi antara syaratnya dia tidak boleh menyebut nama saya dalam mana-mana kenyataan di media selepas ini.

“Saya mahu perkara ini berlaku secara ringkas agar dia memohon maaf secara terbuka dengan ikhlas dan belajar sesuatu daripada kejadian ini. Yang penting, nama dan maruah saya dibersihkan semula,” katanya.

Ditanya pandangannya mengenai kenyataan seorang lagi bintang baru iaitu Tasha Shilla terhadap dirinya sebelum ini, Neelofa berkata dia tidak berkecil hati dan menghormati pendapat aktres itu.

“Saya tidak mempunyai sebarang isu dengan Tasha. Saya tidak terasa hati kerana dia juga ada hak untuk menyuarakan pendapatnya.

“Malah saya menghormati pendekatannya yang berdiam diri selepas pelbagai kontroversi antara kami bertiga mendapat liputan meluas di media,” katanya.

Presiden Seniman Zed Zaidi yang dihubungi mStar Online memberitahu yang beliau telah menerima surat berkenaan dan akan berbincang dengan Anzalna sama ada dia bersetuju atau tidak dengan syarat-syarat yang diberikan itu. – mStar Online

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...