Luahan hati Vanidah
SUDAH lama tidak mendengar khabar aktres cantik Vanidah Imran, 39, selepas dia tidak lagi terikat dengan program Nona. Wajah pelakon itu juga tidak banyak menghiasi drama mahupun filem. Jika adapun sekadar beberapa drama seperti drama 7 Gerhana arahan Hans Isaac dan juga filem Misteri Jalan Lama arahan Afdlin Shauki.
Bertemu dengan Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-21 (2008) itu pada majlis pelancaran projek Inspirasi Selebriti bersama Macy di Pusat Beli-Belah Citta, Kosmo! menemubual Vanida yang lebih mesra disapa Vee itu sekali gus mengetahui keluh resah pelakon itu terhadap dunia seni dan juga kegembiraannya menyambung kembali pelajarannya yang sekian lama tergendala.
Boleh kongsi apakah perkembangan Vanidah dalam dunia seni sekarang?
Saya baru sahaja habis penggambaran drama Tanah Kubur terbitan Astro Oasis. Saya menjayakan satu episod untuk drama itu iaitu Susuk. Selain drama, saya juga akan muncul untuk filem Untuk Tiga Hari arahan Afdlin Shauki pada September depan.
Sekali lagi anda berlakon di bawah arahan Afdlin. Kenapa Afdlin, tetapi tidak pengarah lain?
Saya selesa dengan arahan Afdlin begitu juga Hans Isaac. Bukan bermaksud saya tidak selesa dengan pengarah lain tetapi Afdlin dan Hans kerap menawarkan saya watak yang mencabar. Afdlin dan Hans bukan sahaja faham dari segi jadual saya tetapi mereka tidak pernah cakap saya sudah tua untuk membawa watak cinta. Filem Untuk Tiga Hari, saya akan berlakon di samping suami, Rashidi dan membawakan watak hero dan heroin yang bercinta.
Seperti kedengarannya anda kecewa dengan pengarah lain?
Pemikiran orang Asia tidak sama seperti di Hollywood yang mana mereka lagi menghargai pelakon yang lebih berumur. Sebagai contoh, Datuk Michelle Yeoh yang membawakan watak heroin dalam filem The Lady. Kenapa dia dipilih? Kerana pengalaman dan kehebatannya dalam lakonan. Kebanyakan pengarah kita pula lebih gemar mengambil muka-muka baharu untuk menjadi hero dan heroin. Tetapi saya kena faham penerbit buat filem untuk duit. Pasaran filem Malaysia juga kecil, tidak seperti di Indonesia.
Sudah berapa lama anda berlakon dan sampai bilakah anda rasa akan meneruskan bidang lakonan ini?
Kebelakangan ini, saya sudah tidak terlalu tumpu kepada bidang lakonan. Apa yang penting sekarang adalah keluarga dan pelajaran saya. Saya terpaksa mengehadkan aktiviti seni kerana ingin memberikan tumpuan lebih kepada pengajian saya di Universiti Terbuka Malaysia.
Kenapa anda mengambil keputusan untuk menyambung pelajaran?
Saya perlu meningkatkan potensi diri demi masa depan anak-anak. Masa muda dahulu, tidak mahu belajar sekarang baru terhegeh-hegeh hendak sambung belajar. Saya juga mahu anak-anak saya iaitu Mikail Aimran, 8, dan Mariyam Rashika, 7, yang sedang membesar mencontohi dan berbangga dengan pencapaian saya. Malah, suami saya Rashidi juga sudah memiliki segulung Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dari Universiti Pertanian Malaysia (UPM).
0 comments:
Post a Comment