KUALA LUMPUR: Negara mungkin menanggung kerugian sebanyak RM2.73 bilion bagi tempoh lima tahun akan datang sekiranya jenayah siber tidak ditangani dengan baik, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Fadillah Yusof berkata anggaran kerugian itu melibatkan pelbagai tanggungan kos seperti pelindungan privasi dan keselamatan siber.
Beliau berkata berdasarkan laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM), kerajaan menanggung kerugian berjumlah RM22.3 juta pada tahun 2009 dan jumlah itu meningkat kepada RM62 juta tahun lepas.
Fadillah berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Halimah Mohd Sadique (BN-Tenggara) yang ingin tahu tahap kekuatan dan kesiapsiagaan negara dalam menghadapi jenayah siber.
Sementara itu, Fadillah berkata penubuhan Pakatan Keselamatan Siber Global (GCSA) dijangka mampu menangani ancaman siber dengan adanya satu platform antarabangsa bagi meningkatkan kapasiti dan keupayaan dalam bidang keselamatan siber negara.
"Pakatan ini memberi tumpuan kepada pendekatan pencegahan yang dapat membangunkan kesiapsiagaan negara dalam menghadapi ancaman pengodam siber antarabangsa.
"Ia juga mampu mempertingkatkan keupayaaan penjejakan dan pengumpulan bahan bukti ke atas kelakuan penggodam dengan menggembeleng tenaga pihak swasta dan kerajaan," katanya.
Selain itu, beliau berkata pakatan ini juga dapat meningkatkan kemampanan kerjasama antarabangsa melalui kerjasama awam swasta dalam menangani isu keselamatan siber negara di samping menjana ekonomi ahli-ahli.
"Misi GCSA adalah untuk mengukuhkan keselamatan siber negara melalui perkongsian awam dan swasta supaya ahli-ahli dapat manfaat dalam bidang ekonomi dan sosial," katanya. - BERNAMA
0 comments:
Post a Comment