JOHOR BAHRU - Seorang tekong bot dan pembantunya nekad terjun ke dalam laut ketika bot bergerak pantas bagi mengelakkan diri ditangkap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kerana menyeludup manusia awal hari ini.
Tindakan itu diambil selepas usaha menghalang bot APMM daripada mengejar mereka dengan membuang beg-beg pakaian dan barangan lain milik 34 pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia yang mereka seludup, gagal.
Kejadian yang berlaku di perairan Teluk Ramunia, Pengerang, Kota Tinggi pada kira-kira pukul 12.40 pagi itu telah menyebabkan pendatang terbabit kerugian kerana ada beg yang dibuang mengandungi wang tunai.
"Anggota kita terpaksa melompat ke dalam bot tersebut untuk menghentikannya," kata Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Adon Shalan dalam satu kenyataan di sini.
Pemeriksaan APMM mendapati pendatang tanpa izin itu berusia antara setahun hingga 43 tahun, termasuk empat perempuan dewasa dan dua kanak-kanak.
Katanya, APMM masih berusaha mengesan tekong dan pembantunya yang masih hilang. - BERNAMA
0 comments:
Post a Comment