PUCHONG – Bermodalkan cerita sedih konon anaknya mengidap sakit kulit kronik, seorang wanita warga China dikesan bergiat aktif menyamun pengunjung pasar pagi di Puchong Indah di sini, dipercayai menggunakan cara pukau.
Difahamkan, beberapa mangsa mendakwa terpedaya dan kerugian lebih RM50,000 selepas menyerahkan barang kemas dan wang tunai kepada suspek dalam keadaan tidak sedar.
Turut difahamkan, wanita terbabit akan menyapa mangsa rata-ratanya wanita yang berkunjung ke pasar itu sebelum ‘membuka’ cerita sedihnya.
Suspek dikatakan bertanya kepada mangsa di mana klinik pakar kulit boleh dikunjungi untuk membawa anaknya yang sakit mendapatkan rawatan.
Selepas berjaya mempengaruhi mangsa dengan cerita simpati itu, suspek dikatakan akan membawa mangsanya ke sebuah kereta jenis Naza Ria yang diletakkan di parkir kereta berhampiran pasar sebelum bertemu dengan dua orang lelaki.
Ketua Biro Aduan Puchong, Kuan Chee Heng berkata, suspek dikatakan datang ke negara ini Sabtu lalu sebelum memulakan ‘kerjanya’ sehari selepas itu.
Menurutnya, suspek turut menggunakan helah meminta mangsa menunjukkan di mana kedudukan pokok besar yang didakwa untuk dijadikan ubat bagi merawat sakit anaknya.
“Salah seorang mangsa memberitahu, suspek mengatakan anaknya sakit dan perlu mencari kulit pokok bersaiz besar kononnya untuk direbus dan dijadikan air penawar.
“Mangsa yang bersimpati, akan percaya dengan kata-kata itu dan bersedia menunjukkan lokasi tempat pokok besar yang diketahui,” katanya.
Chee Heng berkata, suspek kemudian membawa mangsa ke sebuah kereta bercermin gelap yang diletakkan berhampiran pasar, dua orang lelaki dikatakan berada di dalam kenderaan itu dipercayai menjalankan kerja-kerja memukau.
Menurutnya, mangsa diberikan tangkal azimat untuk mengelak bala dan diminta tidak memberitahu orang lain mengenai perkara itu.
Katanya, suspek kemudiannya meminta mangsa pulang ke rumah dan mengambil barangan kemas serta wang tunai. Selepas menyerahkan segalanya, suspek menyerahkan karung berwarna hitam kepada mangsa.
“Hanya selepas tersedar dari pukau, mangsanya akan menyedari ditipu dan mendapati suspek hanya meninggalkan beberapa biji buah limau dalam karung hitam diberi,” katanya.
Beliau berkata, bagaimanapun penipuan licik dilakukan wanita terbabit akhirnya tumpas apabila dia berjaya diberkas peniaga yang menyedari kegiatannya.
0 comments:
Post a Comment