Searching...
Saturday, 14 April 2012
21:12 0

Muhyiddin Dakwa Anwar Main Politik


SHAH ALAM – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyelar janji pakatan pembangkang untuk menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan tol jika dapat memerintah.

“Kalau saya pinjam duit, saya dengar pun seronok jugak tak payah bayar tapi kalau dibuat begitu terhentilah tabung itu, apa cerita dengan anak-anak sekarang nak belajar ke universiti, kalau tak dapat biasiswa bapa nak dapat pinjaman dari bank,” katanya.

Beliau menyifatkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya bermain politik mengenai penghapusan tol serta mempersoalkan siapa yang akan membayar balik pinjaman konsesi tol untuk membina lebuh raya.

“Sebab itu kita hapuskan tol itu sedikit-sedikit, mana yang kita boleh hapus, kita hapuskan mana yang kita boleh kurangkan kita kurangkan. Kalau kita nak hapuskan tol kita mungkin terpaksa belanja RM100 bilion,” katanya.

Beliau berkata, Anwar mendakwa akan menggunakan hasil dari Petronas untuk memberikan pendidikan tinggi percuma sedangkan banyak daripada subsidi di negara ini adalah sumbangan Petronas.

“Jika dana Petronas diperah habis-habisan, ini bagaikan membunuh angsa yang bertelurkan emas,” katanya ketika bertemu wakil-wakil persatuan penjaja Selangor di sini hari ini sempena Program Lawatan Nurani Rakyat BN Selangor.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut mengumumkan bantuan RM10,000 bagi membantu pentadbiran 74 persatuan-persatuan penjaja Melayu, Cina dan India.

Dipetik Bernama, Muhyiddin juga berharap kerjasama BN dan penjaja Selangor akan dipertingkatkan dan diperkukuhkan pada masa akan datang.

Malah kata beliau, kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah properniagaan yang komited untuk memastikan ekonomi berkembang pesat dan pendapatan rakyat meningkat agar kekayaan negara dapat diagih-agihkan dengan lebih adil dan saksama.

Beliau berkata, tidak sukar untuk Malaysia menjadi negara maju kerana ia mempunyai ramuan yang mencukupi untuk mencapainya namun yang turut menjadi keutamaan ialah untuk memastikan pendapatan rakyat meningkat “Itu teras BN, teras BN supaya Malaysia menjadi negara maju berpendapatan tinggi,” katanya.

“Apabila pendapatan rakyat meningkat, mereka akan menyimpan beberapa peratus daripada pendapatan mereka dan membelanjakan selebihnya, di mana ini akan merancakkan kitaran wang di dalam sistem kewangan negara yang turut akan dinikmati oleh golongan peniaga,” katanya.

Muhyiddin berkata, kerajaan membantu golongan peniaga bukan sahaja dalam bentuk pinjaman dan kursus keusahawan tetapi juga dalam bentuk subsidi termasuk “subsidi gula yang dibancuh dalam minuman pelanggan mereka”.

Beliau menjelaskan bahawa setiap tahun kerajaan membelanjakan RM500 juta untuk subsidi gula yang dibayar kepada para pengilang bagi memastikan rakyat di negara ini termasuk para penjaja dapat membeli gula pada harga kawalan.

Katanya, adalah tidak wajar pakatan pembangkang mendakwa kerajaan BNzalim dan tidak membela nasib rakyat kerana banyak subsidi yang diberikan kerajaan termasuk kemudahan pinjaman untuk anak-anak muda ke universiti menerusi pinjaman PTPTN yang berjumlah RM43 bilion.

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...