Membuang najis di kaki lima masjid
Pada suatu petang, seorang lelaki Badwi telah mengunjungi sebuah masjid untuk membuang air kecil. Sampai sahaja di tandas masjid itu, semua tandas sedang digunakan dan dia tiada peluang untuk membuang air kecil. Oleh kerana tidak dapat bertahan, lelaki Badwi itu membuang air kecil di kaki lima masjid.
"Apa yang kamu buat itu? Mengapa kamu mmembuang air kecil di kaki lima ini? Tidakkah kamu tahu najis itu akan menyusahkan orang yang sedang berada di masjid ini?" Marah seorang sahabat dek perbuatan tidak sopan lelaki berkenaan.
Bengang dengan tindakan lelaki itu, sahabat ini mendapatkan kayu untuk memukul. Tetapi perbuatannya itu telah dilihat oleh Rasulullah yang baru selesai mengimami solat berjemaah.
"Wahai sahabatku. Biarkan dia selesai membuang air kecil di situ. Kamu ambilkan sedikit air dan berikan kepadaku," pinta Rasulullah. Setelah menyerahkan bekas air, Rasulullah pun membasuh tempat di mana lelaki Badwi itu kencing. Manakala lelaki Badwi itu menghilang entah ke mana.
"Wahai sahabatku, apa yang akan terjadi sekiranya kamu memukul lelaki Badwi yang sedang membuang air kecil tadi?" tanya Rasulullah. "Sudah tentu lelaki itu akan membuang air kecil sambil berlari dan seluruh kawasan masjid akan terkena najisnya," jawab sahabat itu.
"Benar jawapan kamu. Jika lelaki itu membuang najisnya merata-rata, sudah tentu menyusahkan kita untuk membasuh semua tempat yang terkena najis sedangkan jika kita membiarkannya, kita hanya membasuh di tempat itu sahaja," Rasulullah menerangkan tindakannya membiarkan lelaki Badwi itu membuang air kecil di kaki lima masjid. Para sahabat mengangguk tanda faham dan bersetuju dengan tindakan Rasulullah.
Tanpa disedari, lelaki Badwi itu mendengar perbualan tersebut. Selepas para sahabat beredar, lelaki Badwi itu mendapatkan Rasulullah dan dia menceritakan hal sebenar mengapa dia membuang air kecil di situ.
"Ya Rasulullah, sayalah yang telah membuang air kecil di situ. Saya kagum dengan sikap tuan yang berakhlak mulia dan menarik perhatian saya. Di hadapan tuan, saya dengan ikhlas hati ingin memeluk agama Islam yang Rasulullah bawa," beritahu lelaki Badwi itu.
"Syukur alhamdulillah Allah telah membuka hati kamu," ujar Rasulullah dan mengajak lelaki Badwi itu masuk ke dalam masjid untuk mengucap dua kalimah syahadah.
0 comments:
Post a Comment