NAMA Taiyuddin Bakar mungkin kelihatan sedikit asing di kalangan para peminat dunia hiburan tanahair tapi pastinya apabila disebut sahaja ungkapan ‘Apa Celop', penonton pasti ingat akan lakonan bersahaja beliau dalam filem 'Hantu Bonceng' sebelum ini.
Mengorak langkah bergelar anak seni menerusi dimensi lakonan, beliau yang mesra dipanggil Tai mengakui bersyukur dan berterima kasih atas sokongan dan penerimaan peminat terhadap dirinya.
“Alhamdulillah, doa Tai termakbul. Tai bersyukur sangat-sangat kerana usaha Tai untuk menjadikan ‘Apa Celop’ satu ‘trend’ menjadi kenyataan. Bila orang kenal Tai melalui slogan tu, Tai rasa terharu dan gembira apabila Tai berjaya buat orang ingat akan lakonan Tai“, ujar pelakon drama 'Apa Celop' yang menghiasi slot Aksi TV3.
Tai yang juga bekas graduan Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA) ditemui ketika pementasan teater 'Gerimis Mengundang' di Istana Budaya baru-baru ini. Mengulas mengenai pembabitannya, Tai berkongsi pengalamannya berlakon dalam teater arahan Ahmad Idham ini.
“Bagi Tai, teater 'Gerimis Mengundang' merupakan suatu pementasan yang luar dari jangkaan. Maksud Tai, graf serta perjalanan cerita ini sesuatu yang penonton semua tidak akan sangka, apabila satu persembahan yang bertenaga dapat dipersembahkan tanpa henti dalam tempoh hampir 2 jam,“ ujar Tai yang sebelum ini pernah membintangi teater seperti 'Seri Mersing' dan 'Sumpah Semerah Padi'.
“'Gerimis Mengundang' merupakan sebuah nashkah yang seronok untuk ditonton. 'It is fun to watch.' Tai rasa ramai yang akan membuat penilaian awal hanya dari tajuknya. Namun begitu, 'Gerimis Mengundang' merupakan sebuah teater muzikal yang segar. Tai sebelum ini pun banyak berlakon teater tapi kebanyakkannya yang serius dan melankolik. Ini merupakan teater muzikal komersil pertama yang Tai sertai dan Tai harus akui Tai memang seronok membawakan watak Boboi dalam teater ini.“
Pernah muncul dalam beberapa filem dan drama seperti 'Mukhsin' arahan arwah Yasmin Ahmad, Tai mengakui sebagai seorang anak seni, memang ada hasrat untuk beliau mengarahkan filem beliau sendiri. Dia turut berkongsi akan minatnya untuk menghasilkan filem yang mempunyai nilai kekeluargaan. Menyedari minat penonton tempatan terhadap filem-filem komedi, Tai mengimpikan untuk menghasilkan sebuah karya yang menggabungkan elemen komedi dan kekeluargaan.
Tai yang akan muncul dalam filem 'Cinta Atas Tar' bersama juara Akademi Fantasia 9, Hazama berharap kehadiran beliau dalam industri akan terus diterima dengan hati yang terbuka oleh semua pihak. Dengan kesungguhan dan bakat yang ada pada Tai, diyakini bahawa anak muda ini mampu pergi dengan lebih jauh lagi. Insya-Allah!
0 comments:
Post a Comment