PUTRA JAYA – Datuk Seri Najib Razak hari ini mengingatkan pihak pembangkang yang mengadakan perhimpunan BERSIH 3.0 supaya berhenti menipu rakyat dan mencetus huru hara dalam negara.
Perdana Menteri berkata, perhimpunan bagi membantah proses pilihan raya di negara ini yang kononnya tidak bersih itu hanyalah untuk menutup kelemahan parti dan kredibiliti pemimpin pembangkang yang kini dipersoalkan rakyat.
Katanya, ini kerana pemimpin pembangkang sedar kerajaan Barisan Nasional lebih baik daripada mereka dan terbukti berjaya membela rakyat selama ini, berbeza dengan mereka yang gagal menunaikan janji selepas diberi mandat memerintah di beberapa negeri.
“Jangan tipu rakyat, jangan bohong rakyat, jangan buat huru hara dalam negara kita. Kita adalah negara yang aman, kita nak negara yang progresif dan kita akan membina masa depan yang lebih gemilang di bawah kerajaan kita.
“Sebab itulah kita berhimpun hari ini. Janji ditepati, janji lima tahun lagi insyaAllah akan kita tepati,” katanya berucap melancarkan Jelajah Janji Ditepati di pekarangan Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.
Hadir sama pada majlis itu ialah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Ketua Menteri , Tan Sri Abdul Taib Mahmud, dan isteri, Puan Sri Ragad Kurdi Taib.
Pada majlis itu, Najib turut mengedar buku Janji Ditepati dan menyampaikan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) serta menikmati makan tengah hari bersama rakyat.
0 comments:
Post a Comment