Searching...
Sunday, 1 April 2012
15:03 0

Bantu hilang rasa gayat

UNIK...pemilihan tempat kru UMT planking

“TOLONG, ada budak pengsan, cepat bantu angkat!” jerit seorang perempuan separuh umur sebaik melihat sekujur tubuh terbaring berhampiran pintu masuk utama sebuah pasar raya hiper ternama di Kuala Terengganu.

Terlukis di wajahnya penuh kebimbangan sambil tangannya tidak putus-putus menggamit orang di sekitarnya supaya segera menghampiri anak muda terbabit.




Atas rasa prihatin, orang ramai mengelilingi anak muda berusia 20-an itu dalam usaha menghulurkan bantuan. Selang lima minit, anak muda itu tiba-tiba bingkas bangun dan berlalu, seolah-olah tiada apa terjadi. Orang ramai terpaku dan memandang sesama sendiri sambil kelihatan bingung seketika.

Ia bukan omong kosong, tetapi pengalaman sebenar diceritakan kembali oleh kru Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Planking, Mohd Ikram Abd Talib ketika menjayakan misi ‘planking’ di sebuah pasar raya.

Bagi pelajar Diploma Perikanan UMT itu, peristiwa disangkakan pengsan oleh orang ramai ketika pertama kali melakukan planking di kawasan tumpuan awam secara sendirian dianggap saat paling mencemaskan, tetapi masih lucu meskipun dikenang berkali-kali.


“Hanya Allah tahu betapa berdebar hati saya ketika itu. Ini cubaan berani mati saya planking secara solo di tempat ramai orang. Bayangkan saya buat planking di tempat laluan utama pintu masuk pasar raya popular di situ, menyebabkan saya menjadi tumpuan.

“Sampaikan ada seorang mak cik panik melihat saya terbaring kerana menyangkakan saya pitam. Bimbangkan keselamatan saya, dia menghampiri sambil memanggil beberapa individu lain untuk turut membantu.

“Saya tambah cemas namun tabahkan hati sambil telinga mendengar isyarat rakan, Nasarudin, mengatakan ‘sudah’ apabila dia selesai mendapat ‘snap’ bagus.

“Kami segera beredar untuk menemui rakan lain yang menunggu dengan kereta di luar pasar raya,” katanya yang memerlukan masa empat hari untuk hilangkan debaran akibat aktiviti berkenaan.

Mohd Ikram yang berasal daripada Kuala Pilah berkata, peristiwa itu membuatkan dia lebih agresif serta tidak serik memburu tempat awam dengan mencuba ‘port’ baru dalam usaha melepaskan gian dalam planking bersama kru lain.

“Perasaan dan malu tetap ada, tetapi tidak cukup untuk menahan diri daripada melakukan planking di tempat lebih sesak dengan orang ramai.

“Tambah pula ada rakan serta junior memberi sokongan dengan menempel gambar terbaru dalam wall facebook, membuatkan saya tidak mahu mengalah,” katanya yang menghargai usaha rakannya menubuhkan kru UMT Planking bersama tiga rakan lain.

Nasruddin Sulaiman, 21, dianggap dalang utama oleh kru UMT Planking lain berkata, idea penubuhan tercetus sebaik dia melayari laman membabitkan aktiviti itu.

“Saya terpandang satu laman web yang menyatakan kegiatan planking semakin berkembang di Australia. Malah, ia kini melalui proses revolusi dengan memperkenalkan beberapa aksi ekstrem seperti ‘owling’ mahupun ‘batmanning’.

“Ini berlaku meskipun kegiatan ini mempunyai imej negatif kerana aksi planking pernah menjadi tajuk utama akhbar selepas seorang maut sebaik melakukan aksi itu di balkoni di Brisbane, Australia.

“Kami tetap mempromosikan aktiviti ini dengan lebih positif dengan mengambil langkah berjaga-jaga daripada segi keselamatan, sekali gus berjaya menarik rakan lain, termasuk pelajar perempuan, menyertainya,” katanya.

Dia turut memberitahu, tempat paling mencabar ketika dia melakukan planking ialah di atas gelung bola keranjang.

“Setakat ini aksi paling rumit pernah saya lakukan ialah di gelung bola keranjang. Ruang sangat terhad serta pada masa sama saya perlu mencari ruang untuk kekal stabil.

“Meskipun bimbang, rakan sedia menanti di bawah sebagai langkah berwaspada.
Namun, perasaan takut dan gayat hilang selepas beberapa saat, membuatkan saya menikmati posisi planking terbaik ketika itu,” katanya.

Menurut rakannya, Muhammad Nazrin Arshad,21, tiada kepuasan setanding dengan perasaan sebaik berjaya menghasilkan gambar menarik menerusi planking.

“Selain aktiviti masa lapang bersama rakan, ia boleh dilihat sebagai sukan berseni kerana menerusi posisi planking sempurna tangan lurus rapat di sisi, gambar ditangkap berjaya merakam reaksi orang ramai menonton aksi kami disimpan sebagai kenangan.

“Antara detik tidak boleh dilupakan ialah ketika dalam perjalanan balik ke Kedah, saya berhenti di stesen minyak sambil planking di depan anggota Rela yang berkawal. Mengucap panjang mak cik yang bertugas melihat saya meniarap dengan tiba-tiba.

“Lucu, tetapi pengalaman itu banyak mendorong saya untuk pergi lebih jauh dalam aktiviti planking meskipun mendapat pelbagai reaksi orang ramai yang pernah terserempak dengan kru UMT Planking,” katanya.

Ia turut diperakui rakannya, Muhammad Syazwan Shahril, 21, meskipun kumpulannya pernah dikritik segelintir individu yang merasakan aktiviti dilakukan kru UMT Planking itu sia-sia, mereka hanya membiarkan komen itu seperti angin lalu.

“Memang kami tidak dapat mengelak kritikan pedas individu yang kurang senang dengan kegiatan kami. Namun, saya dan rakan lain sedikit pun tidak ambil hati, malah bangga kerana pembabitan kami mendapat pelbagai reaksi.

“Tidak kurang, masih ada yang menghargai apa yang kami lakukan kerana gambar planking pernah dipilih sebagai pemenang mingguan dalam pertandingan ‘Contest.fay.com’, dan ini sedikit sebanyak menyuntik semangat kumpulan kami untuk terus aktif,” katanya yang turut mendapat sokongan ibu tercinta, Latifah Sidek,53.

Sementara itu, Muhammad Abdullah Syafiq Jasiman, 21, berkata planking banyak membantunya membentuk keyakinan diri.

“Saya mulakan aktiviti ini secara sendiri. Bermula dengan tempat kurang dikunjungi sehingga kepada tumpuan ramai. Daripada perasaan malu, kini saya tidak kisah melakukannya di mana saja.

“Malah, ia terapi baik kerana sebelum ini saya mudah gayat berjaya tangani ketakutan kepada ketinggian setiap kali mencabar diri. Sememangnya ia terapi terbaik buat mereka yang takutkan ketinggian,” katanya.

Dia berkata, pengiktirafan planking tertinggi hanya diperoleh apabila planker (orang yang menjalankan aktiviti planking) memilih tempat sukar dan berjaya meraih perhatian ramai orang.



PROFIL 1:

NAMA: Nasruddin Sulaiman
UMUR: 21 tahun
PENDIDIKAN: Diploma Perikanan UMT
ASAL: Bukit Baru, Melaka


PROFIL 2:

NAMA: Muhammad Nazrin Arshad
UMUR: 21 tahun
PENDIDIKAN: Diploma Perikanan UMT
ASAL: Sungai Petani, Kedah


PROFIL 3:

NAMA: Muhammad Syazwan Shahril
UMUR: 21 tahun
PENDIDIKAN: Diploma Perikanan UMT
ASAL: Merlimau, Melaka


INFO:

  • UMT Planking ialah kumpulan bergerak mempromosikan planking bermula di kalangan warga UMT dan kemudian merebak menerusi laman sosial facebook

  • Kru kumpulan itu membabitkan lima pelajar jurusan Diploma Perikanan UMT

  • Ditubuhkan pada Jun 2011

  • Gambar mereka pernah terpilih sebagai pemenang mingguan dalam ‘Contest.fay.com’
  • 0 comments:

    Post a Comment

    LinkWithin

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...