Kehidupan tanpa masalah umpama hidup tanpa cabaran. Dengan adanya masalah, dugaan, ia menjadikan kita lebih matang, memperbaik diri, dan muhasabah diri dalam menjalani tempoh pengajian di universiti kehidupan. Namun, adakalanya masalah itu membuat kita dekat dengan Allah dan ada pula yang menjauhkan kita daripada Allah SWT.
Masalah yang membuatkan mereka lebih dekat dengan Allah adalah manusia yang beuntung kerana ia membuat mereka sedar bahawa,
“Tiada kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah”
Tahukah anda, Al Quran boleh dijadikan panduan untuk menyelesaikan masalah kehidupan? Tak dinafikan manusia kadang-kala mencari perkara lain untuk menyelesaikan masalah seperti menyendiri, pergi ke tempat yang lebih tenang; tepi bukit, bercerita kepada orang lain tetapi masih tidak dapat penyelesaiannya sedangkan Allah telah pun menurunkan Al Quran untuk rujukan kita dalam menyelesaikan masalah. Sesungguhnya Al Quran adalah panduan sepanjang zaman.
“Sungguh sudah datang kepadamu pelajaran (Quran) daripada Tuhanmu penyembuh penyakit yang ada dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang yang beriman.” (Surah Yunus: 7)
Dalam petikan buku “Quranic Law of Attraction” muka surat 106;
Ali bin Abu Talib pernah menegaskan yang Quran tidak akan lapuk kerana ajarannya sering diulang-ulang dan keajaibannya tidak akan habis. Sesiapa bercakap berdasarkan Al Quran, maka dia sentiasa berada pada jalan yang benar. Sesiapa yang mengamalkannya pasti memperoleh pahala. Sesiapa mengajak manusia ke jalan Quran, dia diberi petunjuk menuju jalan yang lurus (sirat al-mustaqim)
Jadi, tak dapat disangkal lagi, Al Quran sememangnya patut dijadikan panduan dalam apa jua yang kita lakukan. Cuma kita yang tidak sedar betapa besar manfaat Al Quran dalam kehidupan kita. Sesungguhnya surah dalam Al Quran memiliki karakternya sendiri dan surah itu unik serta mempunyai keperibadian tersendiri, ini menyebabkan Al Quran mampu memberi jawapan kepada setiap masalah yang di hadapi dalam kehidupan.
Tips Menjadikan Quran Sebagai Penyelesai Masalah Kehidupan
1. Buka Al Quran secara rambang
Sebelum membuka Al Quran, berdoalah terlebih dahulu dan luruskan niat anda. Anda boleh membaca doa seperti berikut;
“Ya Allah, sampai saat ini aku masih belum menemui penyelesaian untuk masalah yang aku tanggung ini. Aku memohon dengan penuh harapan kepada-Mu supaya memberikan aku jalan yang terbaik.”
2. Lihat dan bacalah
Selepas membuka Al Quran secara rambang, bacalah ayat itu secara perlahan-lahan. Bacalah beberapa kali hingga anda berasa selesa. Bacakan ayat itu secara merdu supaya anda berasa tenang dan selesa. Alunan bacaan Al Quran dapat menyejukkan hati anda malah bacaan ayat-ayat Al Quran memilik unsur muzikal yang dapat melembutkan dan mencerdaskan hati anda.
Bacalah perlahan-lahan dan nikmati ayat-ayat itu. Contohnya, anda memutuskan bagi membaca lima ayat sahaja. Maka, bacalah ayat itu berulang-ulang. Selepas berasa selesa dan tenang, carilah makna ayat Quran yang sedang anda baca itu. Perhatikan maknanya. Baca makna tersebut berulang kali hingga anda faham. Dengan cara ini, anda melakukan pengakuan dan mengirimkan getaran-getaran positif dalam kehidupan anda.
3. Renunglah sedalamnya
Ketika membaca Al Quran, rasakan seolah-olah anda sedang berinteraksi dengan Al Quran. Rasakan yang Al Quran sedang berbicara dengan anda. Bacalah satu ayat dan berhenti. Rasakan semula yang Al Quran sedang berbicara dengan anda. Berhenti membaca Al Quran buat beberapa ketika. Diamlah sebentar. Fahami semula ayat yang anda baca itu.
Contohnya, anda menemui masalah, tiba-tiba anda menjumpai surah Al Baqarah ayat 153 yang bermaksud;
Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar
Fahamilah ayat itu sesuai dengan kemampuan anda. Ia meminta supaya anda bersabar dalam menghadapi segala msalah hidup. Bersabarlah! Allah sentiasa bersama orang yang sabar. Allah pasti memberi rahmat dan kurnia-Nya. Anda juga diperintahkan mendirikan solat. Solat membuatkan hati anda menjadi lebih tenang. Apabila anda melakukan langkah ini, insyaAllah anda tentu mendapat penyelesaian terbaik bagi masalah anda.
Sumber : Buku ‘Quranic Law of Attraction‘ muka surat 104 – 113
0 comments:
Post a Comment