PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) kehilangan jurulatih berwibawa ekoran peletakan jawatan ketua jurulatih beregu wanita, Rexy Mainaky kelmarin.
Penggantinya masih belum diketahui dan BAM hanya akan memutuskannya dalam masa terdekat selepas mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan badan induk sukan badminton negara itu diadakan tidak lama lagi.
Sama ada BAM memilih dalam kalangan jurulatih sedia ada, ia akan diputuskan dalam mesyuarat tersebut.
Rexy melepaskan jawatannya selaku ketua jurulatih beregu wanita negara selepas menerima tawaran lumayan daripada Filipina.
Surat peletakan jawatannya sudah diserahkan kepada BAM pertengahan bulan lalu, dan hasrat bekas juara dunia acara beregu lelaki ketika berpasangan dengan Ricky Subagja itu diterima secara terbuka oleh BAM.
Rexy telah menabur bakti dengan BAM selama hampir tujuh tahun dan sepanjang tempoh tersebut dia berjaya membawa beregu lelaki negara (Tan Boon Heong-Koo Kien Keat) bergelar sebagai beregu No. 1 dunia.
Itu antara kejayaan manis yang dilakarkannya sebelum dia ditukar mengendalikan beregu wanita.
Semalam, sumber BAM yang enggan namannya disiarkan secara terbuka mengakui bahawa Rexy adalah antara jurulatih yang memiliki keistimewaan tersendiri.
Tapi sayang, BAM kini kehilangan khidmatnya kerana Rexy mahukan sesuatu yang lebih mencabar dalam kariernya sebagai jurulatih.
Ditanya sama ada BAM akan terus menggunakan khidmat jurulatih asing bagi menggantikan tempat Rexy, sumber tersebut menjelaskan bahawa ia akan ditentukan pada mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan BAM kelak.
“Ada kemungkinan BAM akan mencari jurulatih asing untuk menggantikan Rexy, tetapi biarlah yang dipilih kelak mempunyai kewibawaan seperti mana yang telah dilakukan Rexy sebelum ini. Kalau boleh, sesiapa yang menjawat jawatan itu kelak hendaklah lebih baik daripada apa yang telah dibuktikan Rexy,” jelas sumber tersebut.
Ada juga khabar angin yang mengatakan Hendrawan yang kini bertanggungjawab mengendalikan skuad pelapis turut dilihat sebagai calon paling layak untuk mengisi jawatan tersebut.
“Mungkin Hendrawan juga boleh dipertimbangkan, tetapi ia bergantung dengan keputusan jawatankuasa BAM.
“Hendrawan juga memiliki keistimewaan tersendiri, tetapi kelebihannya adalah dalam acara perseorangan.
“Apa pun, kita tunggulah perkembangannya nanti sama ada BAM akan memilih jurulatih tempatan atau asing untuk mengendalikan skuad wanita,” jelas sumber itu lagi.
Rexy telah pun menerima tawaran daripada Persatuan Badminton Filipina sebagai Pengarah Kejurulatihan badan induk sukan badminton negara tersebut.
Dia menerimanya kerana mahu mencari sesuatu yang lebih mencabar dan dia diberi tanggungjawab untuk mencari pemain-pemain yang berbakat dari seluruh pelosok negara tersebut bagi diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.
Rexy akan memulakan tugas baharunya itu pada 1 Mei ini.
Selain Filipina, Rexy turut menerima tawaran untuk membimbing skuad badminton Indonesia, England dan Rusia.
Rexy mula bersama BAM pada 7 Julai 2005 sebagai ketua jurulatih beregu lelaki negara.
Kejayaan pertama yang dilakar jurulatih kelahiran Indonesia itu bersama skuad negara adalah ketika membawa Kien Keat-Boon Heong memenangi pingat emas pada temasya Sukan Asia 2006 di Doha, Qatar.
Setahun kemudian, di bawah sentuhan Rexy juga, Kien Keat-Boon Heong bergelar juara pada Kejohanan Badminton Seluruh England 2007 selain memegang status beregu No. 1 dunia pada 2010.
Bagaimanapun, selepas pasangan tersebut bergelut dengan prestasi tidak menentu tahun lalu, Rexy telah ditukar menjadi ketua jurulatih beregu wanita.
0 comments:
Post a Comment