GEORGE TOWN – Universiti Sains Malaysia (USM) membelanjakan lebih RM2 juta sejak lima tahun lepas bagi menambahbaik kemudahan untuk pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) yang menuntut di universiti itu.
Naib Canselornya Profesor Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak berkata semua bangunan baru terutama pusat pengajian di USM telah dilengkapi kemudahan untuk pelajar OKU.
“USM mahu menjadi sebuah universiti yang mesra OKU dan antara kemudahan yang disediakan ialah laluan khas, peralatan khas untuk pembelajaran, bantuan kerusi roda dan kenderaan khas untuk membawa pelajar OKU ke pusat pengajian,” katanya kepada pada sidang akhbar Sambutan Pelajar Baru USM Sidang Akademik 2011/2012 di sini Selasa.
Katanya, sebanyak 3,883 orang termasuk pelajar antarabangsa dari Indonesia, Bangladesh, Turki, Arab Saudi dan China dijadual mendaftar diri bagi pengajian ijazah pertama di USM tahun ini.
Sementara itu, seorang pelajar cacat penglihatan Mohamad Aziz Abidin, 21, berkata beliau teruja dapat menjadi pelajar USM selepas seorang rakan senasib dengannya menceritakan universiti itu menyediakan kemudahan untuk golongan seperti mereka.
“Rakan saya yang turut cacat penglihatan menyambung pelajaran di USM sejak tahun lepas dan dia selalu bercerita tentang kemudahan untuk golongan OKU di universiti ini,” katanya.
Mohamad Aziz berkata sebagai anak sulung, beliau bercita-cita memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan dan mendapat pekerjaan yang baik bagi membantu keluarga.
0 comments:
Post a Comment