PAGOH – Tenaga Nasional Berhad (TNB) bersedia membangunkan infrastruktur perbekalan elektrik bagi menjadikan Pagoh hub pendidikan terkemuka di selatan negara.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh berkata, pembangunan itu merangkumi pembinaan dua pencawang masuk utama dan lima pencawang pembahagian utama di kawasan berkenaan.
“Bagi tahun ini, TNB akan membelanjakan RM2.98 juta untuk melaksanakan sembilan projek bagi mengukuhkan prestasi sistem bekalan elektrik di daerah Muar dan sekitarnya,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran projek Baiti Jannati TNB peringkat kebangsaan di Kampung Renchong di sini hari ini.
Pelancaran projek itu dilakukan Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Che Khalib berkata, seramai 1,434 daripada 10,669 murid Tahun Enam sekolah kebangsaan yang menyertai projek PINTAR TNB sejak tahun 2007 mendapat keputusan 5A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
Beliau berkata, mereka merupakan sebahagian daripada murid di 27 sekolah rendah yang dipilih sebagai anak angkat TNB untuk menyertai projek itu.
“PINTAR merupakan program inisiatif Khazanah Nasional Berhad dan diletakkan di bawah naungan Yayasan PINTAR bagi menggalakkan kecemerlangan akademik dan sahsiah diri khususnya murid sekolah luar bandar,” katanya.
Mengenai projek Baiti Jannati pula, Che Khalib berkata, sebanyak 107 rumah yang melibatkan perbelanjaan RM1.6 juta sedang dilaksanakan di seluruh Semenanjung.
0 comments:
Post a Comment