Searching...
Saturday, 31 March 2012
02:11 0

Tidak Benar Malaysia Ambil Tanah Indonesia



KUALA LUMPUR -  Dakwaan anggota Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia, T.B Hasanuddin kononnya negara itu kehilangan 1,400 hektar di Camar Bulan serta 800 meter garis pantai di Tanjung Datu, Kalimantan Barat kerana diambil secara haram oleh Malaysia tidak benar.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tuduhan oleh golongan tertentu di Indonesia kononnya Malaysia mencuri tanah republik itu dianggap tidak berasas.

Justeru, perkara itu dianggap sebagai satu salah faham kerana Malaysia tidak pernah berniat untuk mengambil walau satu inci tanah milik mana-mana negara jiran.

“Penentuan sempadan mengikut garis-garis darjah tertentu telah termaktub dalam perjanjian antara British dengan Belanda bertarikh 1891, 1915 dan 1928, dan pengukuran dibuat pihak Malaysia dengan Indonesia dan kedua-dua pihak menandatangani persetujuan pengukuran itu.

“Oleh itu tuduhan bahawa Malaysia telah mengambil tanah seperti yang didakwa oleh pihak tertentu itu merupakan sesuatu yang tidak benar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Penyampaian Sumbangan Zakat Perniagaan RM2.58 juta Affin Bank Investment Berhad di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, memang benar ada beberapa kawasan yang belum selesai diukur seperti Gunung Jagoi dan Gunung Raya di sektor Sarawak-Kalimantan Barat dan Sungai Simantipal dan Pulau Sebatik di sektor Sabah-Kalimantan Timur.

Tetapi kata beliau, persempadanan itu sedang diukur namun maklumat itu tidak sampai kepada seluruh rakyat Indonesia termasuk badan bukan kerajaan (NGO) yang mengadakan tunjuk perasaan di kedutaan itu baru-baru ini.

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...