EKORAN namanya dikaitkan dengan pengguguran nama Qi Razali daripada program ‘Jalan-Jalan Cari Makan’ (JJCM), Yunalis Zarai tampil memberi penjelasan. Jelas penyanyi tinggi lampai ini, dakwaan mengatakan dia sering menyebabkan Qi ‘hilang’ dari lokasi tidak benar sama sekali.
“Qi tidak dapat bersama JJCM kerana dia terlibat dengan komitmen lain. Bukan digugurkan kerana masalah disiplin seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak. Jauh sekali disebabkan saya. Qi mengundur diri sebab hendak tumpukan perhatian pada lakonan. Kalau orang kata dia selalu ‘hilang’ ketika saya berada di sini, itu tidak benar.
Hakikatnya, kami sendiri susah hendak berjumpa kerana masing-masing sibuk dengan kerjaya. Baik saya mahupun dia, kami saling memahami dan tidak mahu menganggu kerja masing-masing,” ujar Yuna mengakui kekasihnya itu berasa sedih dan terluka dengan dakwaan itu.
Sementara itu, Yuna juga diminta mengulas tentang kehadiran Youtube ke negara ini. Jelas penyanyi ini dia melihat perkembangan terbaru ini sebagai sesuatu yang positif dan berharap Youtube Malaysia boleh memberi kelebihan kepada rakyat Malaysia.
“Saya telah lama mendapat manfaat daripada Youtube. Walaupun saya bukan bintang Youtube, tetapi saya mula dikenali ramai apabila ada peminat yang memuat naik video-video persembahan saya di laman sosial ini.
Youtube memang banyak tolong karier muzik saya. Secara peribadi, saya menganggap kehadiran Youtube Malaysia boleh memberi lebih banyak pilihan kandungan yang bersesuaian dengan masyarakat Asia, khususnya Malaysia.
Saya juga percaya Youtube Malaysia boleh menyemarakkan industri muzik Malaysia dengan adanya pelbagai aktiviti yang dianjurkan selepas ini,” ujar Yuna teruja.
Dalam masa yang sama, Yuna juga tidak menolak kemungkinan akan berkolaborasi dengan Youtube Malaysia seandainya diberi peluang.
“Mungkin selepas ini saya akan memilih Youtube Malaysia untuk lancarkan single, album atau video muzik terbaru. Setakat ini memang tidak ada sebarang perbincangan dibuat, tetapi saya tidak menolak kemungkinan itu. Tengoklah macamana nanti. Saya terbuka dengan sebarang cadangan,” ujar Yuna.
Ketika ini Yuna sedang sibuk dengan rangka promosi album Inggerisnya di Amerika Syarikat. Walaupun album berjudul ‘Yuna’ itu hanya akan dilancarkan di New York pada 24 April hadapan, tetapi Yuna sudah terlibat dengan siri jelajah album itu.
Bahkan, dia juga sibuk memenuhi undangan stesen radio dalam talian untuk berbicara tentang album itu. Bermula Jun ini, Yuna akan mengadakan persembahan selama 30 hari berturut-turut di 30 lokasi berbeza.