PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar mengambil pelbagai inisiatif sebagai persediaan menghadapi musim panas dan kering yang diramal berlaku antara Jun hingga September tahun ini bagi mengelak kejadian jerebu.
Kementerian itu melalui satu kenyataan media memberitahu, antara inisiatif terbabit adalah dengan melaksanakan langkah pencegahan dan persiapan awal membabitkan jabatan dan agensi di bawahnya melalui Progam Pencegahan Kebakaran Di Tanah Gambut.
“Program ini dilaksanakan di beberapa kawasan tanah gambut yang berisiko tinggi berlaku kebakaran di enam buah negeri iaitu Pahang, Johor, Selangor, Kelantan, Sarawak dan Sabah.
“Program merangkumi aktiviti pembinaan sekatan saliran (check dams) dan telaga air tanah bagi tujuan mengawal paras air di kawasan tanah gambut serta pembinaan menara tinjau bagi pemantauan secara berterusan sebarang aktiviti pembakaran terbuka,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu, program itu antaranya melibatkan Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Perhutanan Semenanjung, Jabatan Perhutanan Sarawak dan Sabah.
Selain itu, kata kenyataan itu, penguatkuasaan ke atas aktiviti pembakaran terbuka akan terus dipertingkatan oleh Jabatan Alam Sekitar dan sehingga 19 Mac lalu sebanyak 320 kes pembakaran terbuka dikesan dan sebanyak 56 kompaun serta 23 notis arahan telah dikeluarkan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Jelas kenyataan itu, pada musim berkenaan sering berlaku peningkatan aktiviti pembakaran terbuka dan kebakaran itu jika tidak dibendung mudah merebak dan menyebabkan kejadian jerebu.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak melakukan atau menyebab pembakaran terbuka dan berkerjasama memadam kebakaran-kebakaran kecil atau melaporkan kes pembakaran terbuka kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat di talian 03-8888 0036 atau Jabatan Alam Sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727,” kata kenyataan itu lagi.
0 comments:
Post a Comment