KUALA LUMPUR – Persatuan Seniman Malaysia bergoncang lagi apabila Presidennya, Harun Salim Bachik meluahkan kekecewaan terhadap Timbalannya, Zed Zaidi, yang dikatakan membelakangkan dan tidak berbincang mengenai sesuatu perkara dengan ketuanya sebelum ia diketengahkan.
Ahli kumpulan Boboi itu memberikan contoh mengeni beberapa isu yang tidak dimaklumkan atau dibincangkan bersama di dalam persatuan seperti isu cermin kereta gelap dan tiga memorandum yang dihantar kepada kerajaan pada Festival BN Youth baru-baru ini.
“Saya tidak pasti mengapa dia enggan bercakap, berbincang atau sekurang-kurangnya memaklumkan kepada saya apa yang sedang dia lakukan bagi pihak persatuan.
“Lihatlah apa terjadi kepada kekecohan yang berlaku mengenai isu cermin kereta gelap? Cadangan itu pun tidak pernah dibawa berbincang dengan saya sebaliknya saya hanya mengetahui daripada pihak lain,” katanya yang dipetik dari laman media Mstar Online.
Selain itu, beliau juga kesal apabila isu-isu tersebut hanya diketahui selepas diberitahu oleh pihak lain atau diberitahu Zed Zaidi sendiri selepas ia diketengahkan kepada khalayak umum.
“Apabila saya hubunginya baru dia jelaskan tetapi nampaknya sudah terlambat,” katanya lagi.
Meskipun menyokong penuh tindakan Timbalannya itu, Harun berkata, beliau tidak mahu dituduh sebagai ketua yang tidak melaksanakan tanggungjawabnya dan selaku penyandang jawatan Presiden, dia perlu tahu apa saja tindakan yang menggunakan nama persatuan tersebut.
“Apa juga perkara yang dia ingin lakukan, saya sebagai presiden menyokong penuh kerana jelas dia begitu bersungguh-sungguh dalam membantu golongan artis tetapi peranan saya sebagai presiden tidak patut ditolak ke tepi.
“Saya berhak untuk mengetahui tentang apa yang sedang berlaku. Soal saya boleh datang atau tidak, itu bukan soalnya kerana jika ada pihak media bertanya, sekurang-kurangnya saya tahu apa yang ingin dijawab bagi pihak dia atau persatuan,” ujar Salim mempertahankan haknya.
Dalam perkembangan berkaitan, Zed Zaidi yang dihubungi media yang sama mendakwa sebaliknya apabila menyatakan bahawa beliau tidak pernah membelakangkan Harun dalam apa-apa tindakannya berhubung hal ehwal persatuan yang mereka ketuai itu.
“Setiap sidang media mahupun aktiviti yang dijalankan Seniman, saya akan memberitahu Harun selaku ketua saya dan setakat ini dia tahu semua perkembangan yang berlaku.
“Lebih-lebih lagi pada ketika ini, dia terlalu sibuk dengan kerja-kerja seninya, takkanlah Seniman akan senyap jika dia sibuk bukan? Jadi saya sebagai timbalannya, perlu melakukan sesuatu untuk menggerakkan persatuan,” jelasnya dan menafikan berniat merampas jawatan Presiden persatuan itu.
0 comments:
Post a Comment