PULAU PINANG - Pemuda UMNO negeri tidak gentar dengan 'ugutan' Ketua Menteri, Lim Guan Eng mahu menyaman pergerakan itu berhubung isu penjualan tapak masjid di Bayan Mutiara kepada pemaju swasta.
Malah, ketuanya, Shaik Hussein Mydin memberi amaran kepada Guan Eng agar memulangkan semula tapak masjid berkenaan kerana ia boleh mencetuskan isu perkauman.
"Saya tidak kisah jika dia nak buat pembangunan macam mana rupa sekalipun tetapi tapak masjid Bayan Mutiara jangan kacau, ini perkara serius. Ia milik orang Islam," tegasnya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat UMNO Pulau Pinang di sini hari ini.
Semalam, Guan Eng pada sidang akhbar di pejabatnya menyuarakan hasrat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Shaik Hussein dan Utusan Malaysia selepas didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah dan berniat jahat mengenai isu Bayan Mutiara.
Ia berikutan dakwaan Shaik Hussein pada Khamis lalu yang menyifatkan Guan Eng sebagai bongkak dan biadab kerana tergamak menjual tapak masjid yang diluluskan dalam pelan pembangunan asal Bayan Mutiara kepada pihak pemaju.
Setiausaha Agung DAP itu dianggap tidak berhak untuk campur tangan dan menyentuh 'harta' yang dikhaskan kepada orang Islam.
Shaik Hussein memberitahu, tindakan undang-undang yang mahu diambil Guan Eng itu disifatkan hanya sekadar mahu mengalih pandangan rakyat sekali gus menutup isu berkenaan.
Jelas beliau, pihaknya tidak akan duduk diam dan akan terus mendedahkan penyelewengan atau kelemahan yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan DAP Pulau Pinang.
"Saya rasa dia (Guan Eng) silap orang. Saya akan terus bercakap tentang isu ini sehingga selesai segala masalah.
"Berdosa saya sebagai orang Islam kalau tidak pertahankan tapak masjid itu," ujarnya.
Beliau menambah, Guan Eng tidak sepatutnya berdolak dalik kerana persoalan yang ditimbulkan pihaknya adalah sama ada tapak masjid itu sudah dijual atau tidak.
"Saya minta dia jawab, hanya katakan ya atau tidak. Masalahnya dia tidak mahu jawab.
"Kalau sudah jual, tidak mengapa. Mengaku sahaja kesilapan kemudian ganti tapak baru untuk mendirikan masjid," ujar beliau.
Menurutnya, jika kali ini masalah timbul hanya membabitkan masjid, tidak hairan jika suatu hari nanti tokong, kuil atau gereja juga akan dipermain-mainkan oleh Guan Eng.
Beliau turut mencabar Setiausaha Agung DAP itu supaya menyaman serentak lima perkara berkaitan projek Bayan Mutiara yang pernah dibangkitkan Pemuda UMNO negeri sebelum ini iaitu tiada tender terbuka, harga tidak realistik, kerugian ditanggung kerajaan negeri, proses tender tidak telus dan wujud unsur rasuah.
0 comments:
Post a Comment