Searching...
Wednesday, 28 March 2012
03:20 0

Awal Tidak Benarkan Scha Peluk Lelaki Lepas Kahwin

mStar Online

KUALA LUMPUR: Pelakon Scha Al Yahya, 29, tidak dibenarkan memeluk lelaki dalam apa jua adegan selepas bergelar isteri kepada Awal Ashaari, 31.

Ia adalah syarat yang dikenakan oleh Awal untuk memastikan rumah tangga yang bakal mereka bina pada 4 Mei depan berjalan dalam keadaan harmoni.

"Apabila bergelar isteri, semestinya dia (Scha) perlu menjaga nama baik suami dan keluarga kedua-dua belah pihak.

"Jadi, terdapat beberapa syarat yang perlu diikuti iaitu biarlah tawaran watak yang diterima sesuai dengan status isteri yang dibawanya.

"Kalau boleh saya tak mahu dia berpelukan dengan lelaki lain, nampak kurang manis," katanya selepas sidang media pengumuman tarikh perkahwinan mereka di Ampwalk, Jalan Ampang di sini, Selasa.
Awal dan Scha gembira hubungan mereka direstua keluarga kedua-dua belah pihak. 

Selain itu tambah Awal, dia mengikut nasihat ibunya bahawa suami isteri perlu tidur bersama dalam apa sahaja keadaan.

Kerana itu Scha juga perlu pulang ke rumah sebelum pukul 12 tengah malam.

"Berdasarkan pesanan-pesanan daripada rakan-rakan yang sudah berumah tangga dan orang tua-tua, mereka memberitahu, jika suami isteri tidur bersama akan menguatkan lagi mahligai perkahwinan.

"Sibuk dan gaduh besar macam mana sekalipun, ibu berpesan, tidur mestilah sekali. Ia merupakan salah satu tip kebahagiaan dalam rumah tangga," ujar Awal.

Scha yang baru sahaja mengetahui syarat itu agak terkejut selepas ditanya oleh pihak media.

Bagaimanapun, pelakon Aku Bukan Tomboy ini tidak kisah dengan syarat itu memandangkan sudah menjadi tanggungjawabnya untuk mematuhi kata suami.

"Hahaha! Saya pun tak tahu yang dia mahu saya lebih memilih watak selepas berkahwin nanti. Bagaimanapun itu bukannya satu masalah pun.

"Sebagai isteri, saya perlu mengikut kata-katanya nanti. Cuma saya harap, Awal dapat menjaga saya seperti mana dia menjaga keluarganya," tutur Scha sambil memberikan senyuman kepada bakal suaminya itu.

Pasangan tersebut akan melangsungkan pernikahan mereka pada 4 Mei depan di Hotel Pullman, Putrajaya.

Majlis resepsi kedua-dua mempelai pula akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 6 Mei 2012.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...