Searching...
Sunday, 15 July 2012
16:25 0

Pelakon Adam Hamid pula sertai PAS




KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengarah muda, Adam Hamid menyerahkan borang keahlian PAS kepada Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, malam tadi.

Borang keahlian itu diserahkan beliau pada program Himpunan Hijau ke Putrajaya peringkat Wilayah Persekutuan, di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru.

Adam, yang berlakon dalam filem Pontianak Harum Sundal Malam (1), dan Bujang Senang itu menyerahkan borang keahliannya di hadapan kira-kira 2,000 hadirin yang menyertai himpunan tersebut.

Pengarah drama Bella, Jelatang, Rahsia Biarlah Rahsia itu juga turut disarungkan baju T Hijau Menuju Putrajaya, selain dikemaskan dengan mafla PAS.

Penyertaan Adam dalam PAS itu disambut dengan tepukan dan laungan takbir daripada hadirin yang memenuhi padang di kelab bersejarah itu.

Sementara itu, pentas ceramah malam tadi dipenuhi dengan ucapan-ucapan semangat daripada pemimpin PAS dan tokoh-tokoh seperti bekas pemain bola kebangsaan, bekas pegawai kanan kerajaan dan bekas tentera.

Dalam masa sama, pelancaran Pertubuhan Sekretariat Kebjikan Bekas Angkatan Tentera (Kerabat) peringkat Wilayah Persekutuan disempurnakan pengerusinya, Ahmad Nazari.

Selain itu, pelancaran Himpunan Hijau menuju Putrajaya peringkat Wilayah Persekutuan turut dilancarkan dengan pelepasan belon dan percikan mercun dan bunga api yang ditaja oleh seorang penyokong PAS.

Selain ceramah, sebuah puisi 'Kulihat Hijau' turut dideklamasikan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nasruddin Hassan yang memukau para peserta himpunan.

Program tersebut berakhir kira-kira jam 12.30 malam.

Sebelum itu, pada sebelah pagi, PAS Wilayah Persekutuan turut melancarkan Himpunan Hijau menuju Putrajaya di Putrajaya dengan pelepasan konvoi bermotor Ekspresi Anak Muda ke Putrajaya.

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...