Searching...
Saturday 7 July 2012
23:01 0

Lelaki diserang biri-biri jantan


RANTAU PANJANG: Angkara seekor biri-biri jantan, seorang warga emas kini terlantar menanggung kesakitan di bahagian pinggang, punggung dan lutut selepas diserang haiwan itu dalam kejadian di Kampung Tasek Bakong, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, mangsa, Ismail Samah, 71, dalam perjalanan pulang ke rumahnya dengan berjalan kaki selepas minum kopi di sebuah warung sebelum terserempak dengan haiwan berkenaan ketika melalui kawasan balai raya.

Menurutnya, haiwan itu tiba-tiba menyerangnya dan menanduknya sehingga dia tidak mampu berbuat apa-apa.

“Ketika diserang, saya cuba berpaut pada tiang balai raya, tetapi akibat tandukan yang kuat, saya jatuh. Saya hanya mampu menahan sakit apabila terus ditanduk sebanyak lima kali selepas terjatuh.
“Seorang remaja datang membantu, tetapi ketika dia cuba menarik tali yang diikat pada leher haiwan berkenaan, dia terjatuh akibat diserang. Bagaimanapun, haiwan itu akhirnya berjaya ditambat,” katanya.

Ismail berkata, dia dibantu penduduk kampung untuk pulang ke rumah dan enggan ke hospital untuk mendapatkan rawatan kerana bimbang ditahan di wad sehingga menyusahkan isterinya yang sakit.

“Akibat diserang haiwan itu, saya kini menanggung kesakitan di bahagian pinggang, punggung dan lutut. Selepas ini saya harap, pemilik haiwan berkenaan menjaga haiwan ternakannya supaya tidak mengganggu penduduk,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...