Searching...
Saturday 2 June 2012
08:38 0

Tak perlu jadi isu - Nadiya


NADIYATUL Nisaa’ Kamaruddin atau lebih mesra disapa Nadiya Nisa barangkali tidak mempunyai portfolio ‘panas’ dalam kariernya.

Portfolio Pelakon Wanita Harapan Terbaik Festival Filem Malaysia ke-24 itu bagaimanapun dilihat bakal berubah warna selepas khalayak menyaksikan lakonan mantapnya dalam filem Jiwa Taiko yang bakal ditayangkan pada 14 Jun ini.

Ini kerana, menerusi filem arahan pengarah terkenal Osman Ali dan membawakan watak seorang gadis bernama Lara, Nadiya dilihat cukup berani dan terdedah dengan banyak adegan ‘panas’ bersama aktor Bront Paralae.

Disifatkan kebanyakan media yang telah berpeluang menonton filem tersebut pada malam pratontonnya baru-baru ini sebagai satu persembahan berani daripada Nadiya, pelakon itu punya penjelasan sendiri mengenai aksi-aksi liar dan panasnya dalam filem tersebut.

Kosmo!: Boleh jelaskan sedikit tentang watak Nadiya sebagai Lara dalam filem tersebut?

NADIYA: Bagi saya watak Lara sangat menarik dan agak mencabar buat diri saya. Lara merupakan seorang gadis yang pernah berhadapan dengan kes juvana dan menjalani pemulihan di Pusat Pemulihan Akhlak Wira Cinta. Namun, kehadiran Firman (Remy Ishak) telah mengubah segala-gala apabila Lara jatuh cinta dengannya, tetapi cinta tersebut tidak dibalas. Kemudian Lara melarikan diri dan bertemu dengan Pinto (Bront Palarae), lalu akhirnya mereka terlanjur.



Apa yang membuatkan anda tertarik untuk membintangi filem tersebut?

Selain jalan ceritanya yang memaparkan kisah realiti masyarakat yang berlaku sekarang, saya tertarik kerana ia merupakan sebuah filem aksi. Sebagai seorang pelakon, saya memang ingin terlibat dengan filem-filem pelbagai genre. Jika sebelum ini saya membawakan watak gadis kurang upaya dalam filem Cun, kali ini watak yang dibawa memerlukan saya melakonkan beberapa adegan aksi seperti bersilat.

Dalam filem ini watak anda dilihat agak liar termasuk melakonkan adegan panas. Sudah bersedia berhadapan dengan kritikan ramai?

Sejujurnya saya memang sudah bersedia menerima sebarang maklum balas sama ada kritikan atau pujian. Apa yang boleh saya katakan, babak panas yang membabitkan saya dan Bront itu sebenarnya tidaklah terlampau keterlaluan. Sebenarnya isu adegan panas ini tidak perlu terlalu digembar-gemburkan, tetapi mungkin disebabkan status saya sebagai seorang isteri dan ibu kepada seorang anak menyebabkan adegan yang dipaparkan itu diperkatakan ramai.

Adakah anda selesa ketika melakonkan adegan berkenaan?

Saya tidak ada sebarang masalah kerana itu adalah tuntutan skrip dan babak yang dipaparkan itu sememangnya benar-benar berlaku dalam kehidupan masyarakat sekarang, terutamanya membabitkan masalah gejala sosial. Lagipun saya sudah mengenali Bront hampir 10 tahun dan tidak berasa terlalu kekok ketika melakonkannya. Saya juga berpendapat penonton sekarang sudah semakin bijak untuk menilai dan mereka lebih melihat kepada mutu lakonan berbanding adegan panas yang sebenarnya tidak perlu menjadi isu.

Bagaimana pula dengan reaksi suami ketika menonton filem tersebut?

Sebenarnya suami kelihatan lebih tenang berbanding saya yang agak berasa gementar semasa menonton filem ini. Semasa penggambaran dilakukan pada Disember 2010, saya baru empat bulan mendirikan rumah tangga. Malah, sebelum penggambaran saya dan suami ada berbincang mengenai perkara ini dan dia tidak kisah kerana faham dengan tanggungjawab saya sebagai seorang pelakon.

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...