Searching...
Sunday 1 April 2012
19:24 0

Kes Culik - Seorang Pegawai Polis Antara 9 Suspek Yang Ditahan




SHAH ALAM – Seorang pegawai polis berusia 43 tahun antara sembilan individu yang ditahan bagi membantu kes culik membabitkan seorang pengurus projek di kawasan perindustrian Seri Kembangan pada 22 Mac lalu.


Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, pegawai polis berpangkat Inspektor yang digantung tugas sejak tahun 2010 itu bersama sembilan yang lain ditahan di kawasan Kajang dan Rawang semalam.


“Sembilan individu berusia antara 26 dan 48 tahun ini ditahan sebaik mangsa culik dibebaskan pada pukul 6.30 pagi hari yang sama.


“Polis turut menemui semula wang tebusan sebanyak RM275,850 dan merampas beberapa buah kereta termasuk Proton Gen 2, Waja, sebuah motosikal, sebuah treler, parang, topeng, kad Touch n Go dan Smart Tag daripada suspek,” katanya pada satu sidang media di sini hari ini.


Tun Hisan berkata, tiga daripada sembilan lelaki terbabit termasuk pegawai polis berkenaan didapati mempunyai rekod jenayah lampau.


Menurut beliau, kesemua suspek ditahan reman sehingga 7 April ini bagi membantu siasatan polis.


Mangsa berusia 34 tahun yang merupakan anak seorang ahli perniagaan bergelar jutawan dilapor diculik pada 22 Mac lalu sewaktu dalam perjalanan meninjau tapak pembinaan di Seri Kembangan.


Mangsa yang bekerja sebagai pengurus projek di syarikat pembinaan milik bapanya diselamatkan di sebuah premis di Rawang dekat sini tanpa sebarang kecederaan pukul 6.30 pagi.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...