Searching...
Tuesday 24 April 2012
13:22 0

Breivik mengaku bunuh 77 orang



OSLO, Norway - Seorang fanatik berhaluan kanan semalam mengaku dia melancarkan serangan bom dan tembakan yang meragut nyawa 77 orang di Norway.
Namun, lelaki berkenaan, Anders Behring Breivik tidak mengaku salah atas dakwaan melakukan jenayah dengan alasan serangan tersebut dilakukan bagi mempertahankan diri.

Pada hari pertama perbicaraannya di sini, Breivik enggan mengiktiraf kuasa mahkamah berkenaan.
Dia dibicarakan kerana melancarkan serangan pada 22 Julai tahun lalu yang menggemparkan Norway dan mengubah imej keganasan di Eropah yang sebelum ini sering dikaitkan dengan orang Islam.

Berpakaian sut gelap dan berjanggut pendek, Breivik tersenyum apabila seorang pengawal membuka garinya di bilik perbicaraan mahkamah berkenaan yang dipenuhi orang ramai.

Lelaki berusia 33 tahun itu kemudian mengepal jarinya dan memberikan tabik hormat sebelum berjabat tangan dengan pihak pendakwa raya dan pegawai mahkamah.
"Saya tidak mengiktiraf mahkamah Norway kerana anda mendapat mandat daripada parti politik Norway yang menyokong masyarakat berbilang kaum," kata Breivik.

Seramai lapan orang maut dalam serangan bom oleh Breivik di ibu kota Norway di sini manakala 69 yang lain terbunuh dalam kejadian tembakan di sebuah kem belia anjuran Parti Buruh di Pulau Utoya, dekat sini.
"Saya mengaku melakukan dua serangan tersebut tetapi saya tidak bersalah kerana perbuatan jenayah," ujarnya sambil menambah, perbuatan itu dilakukan untuk mempertahankan diri.

Perkara utama yang perlu diselesaikan semasa perbicaraan selama 10 minggu itu berlangsung melibatkan isu kesihatan mental Breivik.
Ia akan menentukan sama ada dia akan dihantar ke penjara atau ditahan di hospital sakit jiwa.
Jika Breivik disahkan tidak gila, dia berdepan hukuman penjara 21 tahun.

Namun, hukuman terhadapnya akan dilanjutkan jika dia didapati masih merbahaya kepada orang awam. - Agensi

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...