Searching...
Friday 13 April 2012
14:01 0

Beri salam sebelum mencuri




ARAU – Tindakan seorang pencuri memberi salam sebelum mencuri benih padi akhirnya menjerat diri apabila diberkas pemilik benih berkenaan.

Rozi Md Jam, 47, berkata, dia mula sedar benih padi miliknya dicuri apabila ia dilihat semakin berkurangan sejak beberapa hari lalu.

Menurutnya, dia kemudiannya mengambil keputusan untuk menyiasat siapa dalang yang berselindung di sebalik kegiatan berkenaan.

Intipan yang dilakukan sejak beberapa hari lalu membuahkan hasil apabila dia dan anaknya berjaya memberkas pencuri itu yang datang ke rumahnya kelmarin kira-kira jam 8.15 malam bagi mengulangi perbuatan itu.

“Saya ada membeli 21 beg benih padi, sehingga semalam bakinya tinggal lapan beg sahaja, disebabkan itu saya mula mengintip setiap malam.

“Saya meletakkan kereta anak di rumah jiran dan buat seolah-olah tiada orang di rumah.

“Apa yang menghairankan pencuri terbabit memberi salam terlebih dahulu, mungkin dia mahu menduga sama ada terdapat orang di rumah. Setelah tidak berjawab dia mulakan operasinya,” katanya.

Rozi berkata, akibat daripada kecurian itu dia terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM360 apabila 13 beg benih padinya dicuri beberapa minggu yang lalu.

Sinar Harian difahamkan, di kampung terbabit kerap berlaku kecurian input pertanian seperti racun, baja, benih padi, mesin rumput dan sebagainya.

“Kami penduduk tidak melaporkan hal ini kepada polis kerana ia tidak terlalu serius, tetapi semakin lama ia kerap berlaku, habis semua barangan pertanian penduduk dicurinya.

“Harga satu beg benih berjumlah RM30, mungkin disebabkan itu mereka mencuri benih-benih padi ini, pencuri terbabit merupakan orang luar dan datang ke rumah saya dengan menaiki motosikal yang diparkir di sebelah stor bagi memudahkannya mengangkut benih itu,” katanya.

Katanya, pencuri berkenaan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin telah pun mengesahkan kejadian berkenaan.

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...