Searching...
Tuesday 17 April 2012
15:38 0

Apex Tolak Tawaran Untuk Jadi Artis



KUALA LUMPUR – Penjaga gol bola sepak skuad kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat, 23, atau Apex menolak untuk bergelar sebagai anak seni sama ada menjadi pelakon atau pengacara walaupun menerima pelbagai tawaran.

Apex tidak berminat untuk bergiat aktif dalam bidang seni tetapi tidak menolak sekiranya menerima tawaran untuk menjadi model iklan sahaja.

Bagi Apex, dia tidak mahu kerjaya sebagai pemain bola sepak kebangsaan terganggu kerana terlalu bergiat aktif dalam bidang hiburan.

“Saya bukannya artis dan tidak mahu jadi artis tetapi cukuplah sebagai seorang selebriti yang dikenali dalam bidang sukan.

“Lagipun ia bukanlah satu bidang yang saya minati melainkan jika saya diminta menjadi model iklan dan terlibat dengan aktiviti peragaan yang mana kerjanya hanya mengambil masa yang tidak terlalu lama,” katanya seperti dalam laporan mStar Online.

Selain itu, Apex juga tidak mahu kehidupan peribadinya lebih diketahui umum dan tidak mahu dirinya terus dipalitkan dengan cerita-cerita kontroversi yang boleh mencalarkan imej dan kredibilitinya sebagai selebriti sukan.

“Saya tak mahu hal peribadi menjadi perhatian yang lebih berbanding kerjaya. Oleh itu biarlah fokus saya terhadap sukan sahaja.

“Dan selebihnya, cara untuk mengelakkan kontroversi ialah saya lebih suka duduk di rumah jika ada masa terluang,” katanya.

Apex pernah mengikat tali pertunangan dengan seorang gadis blogger, Aimie Harmelia, tetapi terputus di tengah jalan apabila Apex dikatakan telah memberikan cintanya kepada gadis lain.

Selepas itu, Apex dikaitkan pula mempunyai hubungan cinta dengan seorang model sambilan, Dahlia Teck tetapi Apex telah mengakui hubungan cinta mereka telah pun berakhir baru-baru ini.

Terbaru, jejaka kelahiran negeri Kelantan itu menjadi model iklan dalam produk minyak wangi keluaran penyanyi, Datuk Siti Nurhaliza yang turut digandingkan dengan gadis yang digosipkan bersamanya, Nur Eilunie Natasha Nazri atau Leuniey.

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...