Searching...
Monday 16 April 2012
20:56 0

Aaron Mewarnai Industri Hiburan Kita - Yuna



SAAT namanya diumumkan sebagai pemenang kategori Penyanyi Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian, hanya kelibat anak didiknya saja iaitu Diandra Arjunaidi naik ke atas pentas untuk menerima trofi bagi pihaknya.

Buat julung kalinya pemilik nama penuh Yunalis Zarai atau lebih dikenali dengan panggilan Yuna tidak dapat hadir ke malam kemuncak ABPBH2011 yang diadakan di Arena of Stars, Genting Highlands, 8 April lalu, kerana berada di Los Angeles (LA), Amerika Syarikat (AS), demi mengejar cita-cita.

Meskipun dirinya tidak berada di arena, Yuna tetap mengikuti perkembangan yang berlaku pada malam kemuncak itu meskipun tidak sepenuhnya. Paling mengujakan Yuna apabila aktor kacak yang berjaya mencetuskan fenomena menerusi filem Ombak Rindu dan KL Gangster, Aaron Aziz, dinobatkan Bintang Paling Popular. 

"Memang pada awalnya saya memang nak menonton malam kemuncak ABPBH menerusi live stream di laman web ABPBH, tapi saya tertidur. Bagaimanapun, saya sempat juga menyaksikan detik kemenangan Aaron. 

"Saya gembira dengan kemenangannya sebagai Bintang Paling Popular kerana dia memang layak. Aaron pelakon yang berbakat. Kehadirannya nyata mewarnai industri hiburan kita," ujar Yuna. 

Mengulas kejayaannya mempertahankan gelaran itu setelah kali pertama memenanginya pada ABPBH2010, Yuna berkata, sejujurnya dia memang tidak menyangka anugerah itu akan kekal berada di tangannya pada kali ini. 
"Saya dapat tahu yang saya menang anugerah itu menerusi ibu saya, yang menelefon sebaik saja nama saya diumumkan sebagai pemenang. Memang sangat gembira dan teruja, tapi pada masa sama ,saya memang tak sangka boleh menang. 

"Maklum sajalah, persaingan daripada artis lain cukup sengit, terutama Alyah, memandangkan singlenya yang berjudul Kisah Hati memang sangat popular. 

“Apa pun, saya bersyukur kepada Tuhan kerana peminat masih mempercayai bakat saya dan masih menyayangi saya. Sebenarnya saya tak menjangka saya boleh menang tahun ini kerana saya selalu ke LA dan jarang berada di Malaysia. Namun, saya selalu mencari peluang untuk berkomunikasi dengan peminat saya di tanah air melalui twitter dan facebook," cerita Yuna menerusi e-mel yang dikirimkan kepada Hip. 

Menjelaskan ketidakhadirannya itu, Yuna berkata, dia kini sibuk membuat persiapan terakhir pembikinan album AS yang bakal dilancarkan penghujung bulan ini. 

"Memang terkilan kerana tidak berpeluang menghadiri acara itu. Bukan disengajakan, sebaliknya Yuna sedang dalam persiapan terakhir untuk pembikinan album yang diterbitkan produser AS. 

“Tak sangka, selepas dua tahun saya di sini, akhirnya album ini siap juga. Memang teruja dan tak sabar untuk melihat hasilnya," ujar Yuna sambil memberitahu, dia juga terbabit membuat persembahan di sebuah program bual bicara kendalian Conan O'Brien, serta bakal membuat persembahan di Lollapalooza. 

Bakal kembali ke tanah air pada Mei ini, si penyanyi yang cukup popular menerusi lagu Terukir Di Bintang ini memberitahu, banyak aktiviti sedang menantinya. 

"Antaranya kedai online IAMJETFUELSHOP yang akan dilancarkan pada Mei nanti. Selain itu, saya akan menjalani penggambaran iklan terbaru untuk beberapa produk," katanya. - BH

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...