Searching...
Tuesday 17 April 2012
19:22 0

10Hari Menjelang Pernikahan, Fasha Sandha Bahagia Menghitung Hari

SOROT matanya yang memancar penuh bercahaya pada pertemuan lewat petang hujung bulan lalu cukup untuk menjelaskan segenap bahagia yang barangkali sulit diterjemahkan dengan kata-kata.

Biar cuba menyusun kemas bait indah untuk menghuraikan kebahagiaan itu, ia tidak mungkin sama dengan apa yang dirasai pemilik hati, Toh Muda Rizal Ashram Ramli yang ketika ini sedang membilang hari untuk bergelar isteri.

Sedikit tersipu ketika diusik persoalan mengenai debaran menanti detik bahagia yang akan direalisasikan tanggal 27 April ini di sebuah hotel di ibu negara, Fasha Sandha bersyukur kerana niat suci mereka akhirnya menjadi kenyataan.

Melontar jauh pandangan seakan cuba mengimbas perjalanan panjang yang mereka atur bersama sebelum bersatu sebagai suami isteri, wajah yang pada mulanya ceria beransur hiba.

“Tuhan akhirnya memakbulkan doa semua yang ingin sangat melihat saya bertemu jodoh dan bahagia di samping Rizal,” kata Fasha sebak.

Kembali menyusun bicara yang terhenti seketika, pemilik nama lengkap, Nur Fasha Sandha Hassan, 28, mengakui kematangan Rizal yang akrab disapa Jejai meyakinkan dirinya untuk menjadi suri kepada duda anak satu itu.

“Pelbagai rasa yang sedang saya lalui ketika ini. Saya pasti ia bukan sesuatu yang luar biasa kerana setiap wanita akan berdepan dengan apa yang saya rasai.

“Saya bersyukur dipertemukan dengan seorang lelaki yang memahami diri ini, malah menerima saya seadanya. Jejai bukan sekadar seorang kekasih tetapi juga sahabat yang sentiasa di sisi setiap kali saya memerlukan,” katanya.

Menghurai panjang ciri yang dimiliki Jejai yang membuka pintu hatinya untuk menerima lamaran jejaka itu, Fasha berkata, ahli perniagaan itu seorang yang matang, malah sentiasa membentuknya menjadi wanita yang positif dan berani mengambil apa saja cabaran di depan mata.

“Mungkin kerana berkongsi minat yang sama terhadap haiwan, jadi perbualan kami tidak pernah bosan malah Jejai sentiasa terbuka untuk berbicara mengenai apa saja topik.

“Dia lelaki yang bijak dan berpengetahuan, secara tidak langsung mengajar saya supaya lebih rasional dalam membuat sesuatu keputusan. Jejai banyak mengubah hidup saya supaya menjadi lebih objektif,” dedah gadis kelahiran Johor Bahru mengenai keistimewaan lelaki itu.

Akui Fasha, keinginan untuk mengakhiri percintaan mereka dengan ikatan pernikahan pernah disuarakan Jejai tahun lalu namun ditolaknya kerana masih belum bersedia.

Enggan berselindung, Fasha menjelaskan, ketika itu terlalu banyak perkara yang bermain dalam fikirannya malah komitmen terhadap karier seni membuatkan dia enggan memperjudikan masa depannya dengan sebuah perkahwinan.

“Tetapi Jejai tidak putus asa. Dia cuba melamar lagi pada awal tahun ini dan entah dari mana kuasa itu datang, saya tidak lagi berfikir panjang dan terus bersetuju.

“Ketika itu saya dapat merasakan Tuhan melapangkan laluan untuk saya melangkah seluas-luasnya hingga saya bersedia memberikan sepenuh jiwa dan raga kepada seorang lelaki yang paling saya sayangi,” katanya.

Fasha berkata, majlis pernikahannya yang akan diadakan secara tertutup itu hanya mengundang 300 tetamu terdiri daripada keluarga, sahabat, peminat serta teman media yang akrab dengannya.

Ia disusuli dengan dua majlis persandingan yang akan berlangsung pada Mei ini, namun Fasha masih belum bersedia untuk berkongsi segala perincian mengenai acara itu.

“Bukan berahsia cuma masa tidak mengizinkan saya untuk berkongsi semua cerita. Saya juga menghormati permintaan keluarga Jejai dan ibu bapa yang enggan perkahwinan ini terlalu digembar-gemburkan.

“Jejai sendiri selesa semuanya berjalan secara sederhana. Saya harap semua peminat memahami,” katanya menjelaskan tindakannya yang disifatkan sesetengah pihak sebagai strategi untuk memancing perhatian peminat.

Sering perkahwinan dikaitkan dengan isu memperlahankan karier seni, Fasha tidak menafikan apabila tiba masanya dia akan berundur dan memberi laluan kepada perkara lain yang lebih penting dalam hidupnya.

“Saya terima kenyataan tidak selama-lamanya saya akan berada di atas. Selagi masih belum bergelar isteri, keutamaan saya tetap kepada karier lakonan kerana periuk nasi saya di sini.

“Tetapi apabila tiba masanya, fokus saya akan beralih arah dan ketika itu saya mungkin menumpukan sepenuh perhatian kepada bidang perniagaan pula.

“Alhamdulillah hampir sedekad dalam dunia lakonan saya sudah mengecapi beberapa kejayaan namun masih ada lagi yang belum saya capai dalam hidup ini.

“Saya ingin mencipta nama sebagai usahawan dan pada masa sama, menjadi isteri dan ibu yang berjaya. Itu doa saya ketika ini dan Insya-Allah, saya berharap niat suci itu direstui Ilahi,” katanya. - informasi.my

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...