Searching...
Thursday 29 March 2012
02:00 0

Ismail Sabri - Usahawan IKS disaran Ceburi Perniagaan Francais.



BERA, 26 Mac - Para usahawan industri kecil dan sederhana digesa mengambil peluang menceburi bidang perniagaan francais yang berpotensi untuk berkembang pesat dan menjana pendapatan yang lebih tinggi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri berkata kerajaan sentiasa menyokong bakal usahawan yang berminat dengan industri berkenaan dengan memperkenalkan dana pinjaman francais mikro yang boleh dipohon menerusi Perbadanan Nasional Bhd.

"Kerajaan memperuntukkan RM8 juta di bawah dana tersebut dan setakat ini hanya RM2 juta baharu dipohon.

"Menerusi perniagaan francais, perniagaan mereka boleh berkembang dengan lebih jauh, sehingga ke peringkat antarabangsa, dan banyak produk tempatan yang sebelum ini tidak dikenali dapat dikomersilkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan restoran makanan segera Marrybrown cawangan Bera di sini semalam.

Yang turut hadir Pengarah Urusan Marrybrown, Nancy Liew.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata kerajaan juga akan terus mengadakan penerangan bergerak bagi memberi pendedahan kepada bakal usahawan mengenai kelebihan perniagaan francais.

"Kita mahu mengubah persepsi masyarakat bahawa perniagaan ini bukan sekadar perniagaan berbentuk makanan semata-mata atau untuk usahawan yang bermodal besar sahaja.

"Ini kerana menerusi dana francais mikro, mereka boleh memulakan apa-apa jenis perniagaan dengan modal serendah RM50,000, mereka juga tidak semestinya mempunyai pengalaman luas dalam bidang perniagaan," katanya.

Katanya, setakat ini, kira-kira 30 perniagaan francais jenama tempatan berjaya menembusi pasaran di 50 negara di seluruh dunia.

Ismail berkata kerajaan juga menyasarkan pada 2020, keuntungan RM58.58 bilion dapat dijana menerusi industri francais. 

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...