Warga emas dakwa orang bawanya lari ke Medan
SEPANG — Khatijah Ismail, warga emas yang ditemui dalam keadaan buntu dan merayau-rayau di Medan, Indonesia pada 14 Mei lepas setelah dilaporkan hilang di Kota Bharu, mendakwa ada seseorang membawanya lari ke negara itu.
"Hati saya sedih sangat. Orang bawa lari saya. Tapi saya tak tahu siapa.
Saya tak ingat,” katanya sambil menangis ketika ditemui pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini malam tadi.
Khatijah, 65, dibawa pulang ke tanah air dengan rombongan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menamatkan lawatan kerja tiga hari ke Medan.
Suasana sedih menyelubungi apabila Khatijah ditemukan dengan anak ketiganya Nik Norazizah Nik Mohamad serta menantunya Rosli Mahayadin, masing-masing berusia 29 tahun, yang datang menjemputnya di KLIA.
Media sebelum ini melaporkan Khatijah hilang di sebuah klinik gigi di Kota Bharu pada 9 Mei lepas semasa menemani anaknya mendapatkan rawatan.
Sebaik selesai mendapatkan rawatan, anaknya mendapati beliau hilang dan terus mencarinya di sekitar Kota Baharu termasuk di pasar, stesen bas dan teksi, tetapi gagal.
Sehubungan itu, laporan polis mengenai kehilangan Khatijah dibuat di Balai Polis Kota Bharu.
Khatijah ditemui di Medan pada 14 Mei lepas dalam keadaan merayau-rayau tanpa sebarang dokumen perjalanan sah oleh penduduk di bandar Medan sebelum diserahkan kepada pejabat Konsulat Jeneral Malaysia selepas memberitahu beliau rakyat Malaysia.
Mengulas lanjut, Rosli berkata ibu mertuanya memang menghadapi masalah kesihatan mental dan sering lupa.
Rosli mendakwa ibu mertuanya itu berkemungkinan dibawa lari oleh seseorang untuk dipergunakan.
"Mustahil Khatijah datang sendiri ke Medan kerana beliau mempunyai masalah kesihatan, tidak pandai membaca dan menulis. Pasport beliau pun mungkin dibuat oleh orang itu,” katanya.
Rosli juga mengucapkan terima kasih kepada media, kerajaan Malaysia dan semua pihak yang terlibat dengan urusan membawa pulang ibu mertuanya ke Malaysia.
0 comments:
Post a Comment