KUALA LUMPUR – Perkampungan hari ketiga yang diadakan oleh Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang bertempat di Dataran Merdeka sebagai tanda mogok menggesa kerajaan memansuhkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dilihat semakin hambar.
Tinjaun Mynewshub di lokasi perkampungan mereka menunjukkan hanya seramai 25 orang sahaja pelajar yang masih bertahan di lokasi tersebut.
Mereka menegaskan akan tetap dengan pendirian melakukan mogok sehingga kerajaan menunaikan pemansuhan PTPTN.
Kumpulan para pelajar tersebut hanya duduk di atas padang Dataran Merdeka dan tidak menunjukkan sebarang provokasi atau tindakan lanjut berkaitan pemansuhan PTPTN.
Khemah-khemah yang dipasang pada hari Sabtu lepas selepas demonstrasi dilakukan dari perkarangan Masjid Jame’ ke Dataran Merdeka juga turut tidak kelihatan.
Bagaimanapun, mereka tergesa-gesa mendirikan sebanyak dua khemah sebaik media hadir untuk melakukan tinjauan di perkampungan mereka.
Kumpulan pelancong asing di sekitar Dataran Merdeka juga tidak menghiraukan keadaan kumpulan pelajar tersebut yang berkampung lengkap dengan bekalan makanan untuk kekal tinggal di kawasan itu.
Pengerusi Badan Mahasiswa Menuntut Kebebasan Akademi (Bebas) dan juga Timbalan Presiden Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis), Muhammad Safwan Anang Talib merayu ramai lagi pihak untuk turun padang menyertai perkampungan mereka sebagai tanda sokongan pemansuhan PTPTN.
Safwan kelihatan agak kecewa kerana kumpulannya ditinggalkan begitu sahaja oleh beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan parti pembangkang yang sebelum ini seolah-olah simpati dengan perjuangan mereka.
“Hari ini hari ketiga, yang masih setia untuk bertahan hari ini sebahagian besarnya mahasiswa. Kalau katakan ini sebagai isu rakyat dan ramai yang bertanggungjawab dalam isu ini, tapi di mana mereka-mereka semua, parti-parti politik, NGO?
“Jangan biarkan kami mahasiswa sahaja berada di sini. Hantarlah petugas-petugas anda dan kerah ahli-ahli anda untuk sama-sama merasai jerit payah mahasiswa untuk merealisasikan permintaan kami,” katanya ketika sidang akhbar di sini hari ini.
Kumpulan pelajar-pelajar tersebut juga dilihat meminta sumbangan di atas nama Donation Malaysia Bangkit untuk mendapatkan dana meneruskan misi pemansuhan PTPTN itu.
Perkampungan mogok itu dibuat selepas demonstrasi tuntutan pendidikan percuma kepada rakyat Malaysia dilakukan pada Sabtu lepas.
Diketuai oleh aktivis mahasiswa, Adam Adli, demonstrasi tersebut dilihat sebagai gagal kerana tidak mendapat sambutan dan sekadar dihadiri dalam 300 peserta yang sebahagiannya bukan mahasiswa.
Malah, demonstrasi itu juga berubah rancangan di saat-saat akhir iaitu bermula di perkarangan Masjid Jame’ dan dibawa ke pusat membeli-belah SOGO, Jalan Tunku Abdul Rahman sebelum berkumpul di lokasi terakhir di Dataran Merdeka.
0 comments:
Post a Comment