Searching...
Friday, 6 April 2012
13:19 0

KTB sediakan RM2 juta biasiswa untuk lepasan SPM

Sebahagian pelajar yang mengikuti kursus FIM menunjukkan tanda puas hati setelah mendapat tajaan biasiswa pihak kolej


PERMAISURI – Kolej Teknologi Bestari memperuntukkan sebanyak RM2 juta sebagai biasiswa kepada pelajar yang mengikuti kursus Asasi Pengurusan (FIM) di kolej itu pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ibrahim Hussin berkata, biasiswa sebanyak RM2 juta telah diluluskan pihak pengurusan kolej sebagai tanda penghargaan dan motivasi kepada pelajar yang memilih untuk mengikuti kursus FIM di sini.

“Melalui biasiswa itu, pelajar yang terpilih mengikuti kursus FIM akan diberikan sebanyak RM7, 500 untuk membiayai yuran pengajian mereka.

“Melalui kaedah ini kita yakin KTB akan menjadi pilihan ramai pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang masih tercari-cari arah tuju untuk melanjutkan pelajaran,” katanya pada majlis pengumuman biasiswa di Dewan Teater, KTB.

Menurutnya, peruntukan biasiswa ini hanya terhad kepada 250 pelajar sahaja dan pihak kolej akan memberi kelonggaran kepada pelajar terawal yang mendaftar bagi mengikuti kursus itu.

“Bagaimanapun, kita akan terus mempertimbangkan permohonan dari pelajar lain berdasarkan keperluan pada masa akan datang kerana peluang ini dianggap durian runtuh,” katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai kursus FIM, Ibrahim berkata pelajar yang berjaya menamatkan kursus asasi itu secara automatik akan diberi tawaran melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda Kewangan dengan Kepujian dengan kerjasama Universiti Utara Malaysia (UUM).

“Justeru, pelajar disarankan untuk terus mendapatkan maklumat dengan pihak pengurusan sekiranya terdapat kekeliruan bagi memudahkan urusan lanjut dilakukan,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...