Searching...
Friday, 13 April 2012
14:04 0

Agih borang dana raya akhir bulan



KUALA TERENGGANU - Kerajaan Negeri akan mula mengagihkan borang dana raya bagi rakyat negeri ini yang layak, bermula akhir bulan ini atau selewat-lewatnya pada awal bulan depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, pihaknya menaikkan kelayakan bagi individu yang layak, iaitu berpendapa­tan RM2,000 ke bawah, berbanding RM1,500 sebelum ini.

“Had kelayakan kali ini kita sesuaikan dan selaraskan dengan BR1M, jadi kita jangkakan penerima yang layak akan bertambah tetapi jumlah dana yang diberikan masih sama, iaitu RM300.

“Bagi dana remaja pula, kita jangkakan akan dapat agihkan dalam masa terdekat. Sekarang ini kita masih lagi dalam proses key-in data dan kita jangkakan penerimanya juga bertambah dan agihan dana ialah RM200 bagi setiap individu yang layak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Konvensyen Media Sosial 1Malaysia Negeri Terengganu yang diadakan di Wisma Darul Iman di sini, semalam.

Program anjuran Sekretariat Konvensyen Media Sosial 1Malaysia dengan kerjasama Kerajaan Negeri dan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dan Jabatan Penerangan Malaysia itu disertai 1,539 pengamal media sosial di negeri ini.

Dalam ucapannya, Ahmad mengharapkan pengamal media sosial lebih bertanggungjawab dalam setiap penulisan dan mengelakkan daripada membuat dakwaan atau fitnah yang tidak terbukti kesahihannya.

“Kadang kala ada antara kita yang menulis mengikut perasaan. Sedangkan kita tidak tahu kesan jangka panjangnya yang mungkin menjejaskan individu lain, jadi fikir dan siasat dahulu sebelum menulis sesuatu,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...