3 Suspek Ditahan Curi Jentolak
TEMERLOH – Tiga suspek yang dipercayai terbabit dalam kes curi sebuah jentolak berjaya diberkas polis ketika mahu memasang nombor pendaftaran palsu jentolak berkenaan.
Ketiga-tiga suspek berusia 29 hingga 33 itu berjaya diberkas hanya beberapa jam selepas dipercayai melarikan jentolak berkenaan yang disewa daripada seorang lelaki, 26 tahun.
Menurut Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nor Mansor, dalam kejadian Sabtu lalu, mangsa sedang membersihkan tanah kebun kononnya milik salah seorang suspek selepas dia menyewa jentolak itu untuk tempoh sebulan bermula hari berkenaan bagi kerja pembersihan di kebun itu di kampung Sempadan, dekat sini.
“Ketika mangsa sedang membersihkan kebun berkenaan pada pagi hari kejadian, suspek berkenaan meninggalkan mangsa kononnya mahu membeli air minuman.
“Kira-kira 10 minit kemudian, mangsa didatangi dua lelaki bersenjatakan parang,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang bertindak terjun dari jentolak bagaimanapun berjaya ditangkap sebelum tangan serta kakinya diikat menggunakan pita pelekat.
“Suspek kemudiannya melarikan jentolak berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, mangsa bagaimanapun berjaya melepaskan diri dan meminta bantuan orang ramai untuk membawanya ke Balai Polis Lanchang bagi membuat laporan polis berhubung kejadian itu.
Mohd Nor berkata, hasil maklumat awam dan risikan, polis berjaya menemui semula jentolak berkenaan di Kampung Awah, Maran kira-kira jam 2 petang pada hari yang sama.
0 comments:
Post a Comment