Searching...
Monday 2 July 2012
06:39 0

Neelofa Belajar Dari Kesilapan


BUKAN sedikit maruah diri yang tercalar akibat perbuatan orang lain. Dan bukan sedikit juga kata-kata nista orang yang tak mengerti hinggap di bahu sejak kebelakangan ini. Tidak terfikir keadaan akan menjadi semakin rumit, Neelofa semakin mengerti apa yang harus dilakukan.

Rentetan daripada perang dingin dengan Anzalna Nasir yang tercetus beberapa minggu lalu, Neelofa tahu dia berada di landasan yang benar. Tidak ada apa yang perlu disorok mahupun disembunyikan daripada pengetahuan semua.

Maruahnya sudah tercalar. Dia perlu bangkit memperbetulkan keadaan dan membersihkan onar yang ditinggalkan oleh orang lain. Bukan tidak geram dengan perbuatan mereka yang memburuk-burukkan dirinya tetapi dia tahu ada jalan terbaik buat dirinya.

Setelah menghantar tuntutan notis tujuh hari kepada pelakon itu akibat artikel fitnah membabitkan dirinya, sudah ada jalan baru buat mereka sebetulnya.

Atas dasar campur tangan pihak persatuan Seniman, Anzalna khabarnya bersetuju untuk mengemukakan permintaan maaf kepada Neelofa rentetan daripada kes berkenaan untuk tidak memanjangkannya ke peringkat mahkamah.

Bagi Neelofa dia bersedia menerima permohonan maaf daripada pelakon itu asalkan dia mematuhi beberapa syarat yang bakal ditetapkan tidak lama lagi.

“Saya tidak boleh mendedahkan apa syarat-syaratnya. Tetapi antara syaratnya, saya tidak benarkan Anzalna mengaitkan nama saya dalam apa juga kenyataannya selepas ini.

“Selain itu saya juga tidak mahu dia mengungkit apa yang telah berlaku antara kami. Dia juga tidak boleh memperbesarkan isu yang dia sendiri bangkitkan selepas persetujuan dicapai,” kata Neelofa yang sedang sibuk dengan penggambaran drama bersiri Kau Yang Terindah.

Biarpun sudah tiga minggu isu itu tercetus, Neelofa masih terluka dengan apa yang telah berlaku. Tidak tahu bagaimana isu dua tahun lepas boleh dikeluarkan kembali, pelakon yang cukup popular dengan drama Tahajjud Cinta itu cukup yakin dengan tindakan yang diambil.

Namun begitu masih ada lagi cakap-cakap belakang yang mengatakan dia tidak konsisten dalam soal ini. Ramai yang mahu pihak Neelofa mengheret terus kes ini ke mahkamah atas kapasiti mempertahankan maruah yang sudah dirobek.

“Bukan saya nak heret orang sesuka hati dan saya juga bukan takut naik mahkamah. Tetapi saya sudah melantik peguam dan dia harus mengemukakan notis tujuh hari kepada pihak kami.

“Bila dia tidak membalas notis tersebut, pihak saya bagi dua pilihan kepadanya. Mahu memohon maaf atau saya akan failkan kes ini ke mahkamah. Nampaknya dia memilih untuk memohon maaf dan saya terima.

“Saya mahu kes ini segera selesai dan tidak dipanjangkan. Siapa yang memulakan, dia juga perlu mengakhirinya. Mungkin keadaan tidak akan jadi seperti sedia kala tetapi setidak-tidaknya ia mampu menjernihkan keadaan,” katanya.

Hentikan cerita

SEBELUM dikaitkan dengan kontroversi bersama Anzalna, Neelofa terlebih dahulu dikatakan bermusuhan dengan Tasha Shila dan beberapa pelakon lain. Apa yang berlaku itu cukup mendebarkan jantung sesiapa sahaja kerana dia masih lagi terlalu baru dalam industri.

Benarkah sikap pelakon ini semakin diva dengan pelbagai kontroversi yang melanda?

Tidak mahu terus mengenang apa yang telah berlaku, Neelofa percaya antaranya dengan artis-artis yang dimaksudkan tidak pernah ‘bercakaran’ seperti mana sangkaan orang ramai.

“Saya tidak pernah berperang mulut dengan mereka pun tetapi kenapa orang boleh kata saya bergaduh dengan orang itu, dengan orang ini?

“Saya tahu ‘peperangan’ yang tercetus ini selalu sahaja disebabkan oleh orang ketiga yang tidak perlu saya nyatakan siapa. Kalau mereka lebih pandai mereka-reka cerita, impaknya terkena kepada kami juga.

“Mereka inilah yang banyak mereka cerita sampaikan terjadi banyak perkara yang saya sendiri tak ingini. Mereka lebih suka melihat saya menderita menjawab pelbagai tomahan yang mereka cipta.

“Apapun kita kena ingat, tidak selalu kita berada di atas. Ada masa nanti pasti mereka akan duduk di bawah dan merasa sendiri keperitan yang mereka sendiri tidak dapat bayangkan” tegas duta Avon dan Bellavita ini.

Cuma, ada hikmah di sebalik apa yang telah berlaku. Bagi Neelofa, dia sudah semakin ‘masak’ dengan industri dan sudah pandai membawa diri.

Kejujuran dalam berkata hal yang benar juga ada kalanya menjerat leher sendiri. Seperti mana yang berlaku dalam beberapa kenyataan sebelum ini, dia juga akhirnya yang dipersalahkan atas dasar kejujuran.

“Industri kita tak besar mana tetapi masalah-masalah seperti ini yang akhirnya akan menjerat diri. Tak mengapa, saya sudah banyak kali terkena dan saya belajar daripadanya.

“Nak cakap apa pun, saya kena fikir impaknya pada masa hadapan,” katanya kesal.

Rezeki masih ada

SAAT namanya semakin mekar sebagai pelaris kepada beberapa produk terkemuka jenama antarabangsa, saat itu juga dia dihimpit dengan pelbagai cerita panas. Mungkin pada sesetengah orang menganggap ia tidak akan menjejaskan apa-apa tetapi bagi Neelofa dia tetap terkena tempiasnya.

Dia bukan sahaja membawa nama sendiri sebaliknya turut membawa nama beberapa jenama produk antarabangsa yang diwakilinya seperti Avon dan Bellavita.

“Bila kes ini meledak, saya cukup risau jika ia memberi kesan kepada tugas saya sebagai duta kepada produk mereka. Sebab itu saya sedaya upaya cepat-cepat membersihkan nama selepas ‘dicemarkan’ oleh mereka.

“Memang agak penat sebenarnya nak menjawab soalan-soalan daripada peminat dan kenalan yang bertanyakan hal tersebut. Jadi, itu juga menjadi antara sebab kenapa saya bertegas dalam soal ini.

“Orang percaya pada saya dan saya kena menghargai mereka. Kehadiran saya dalam industri ini tidak sekadar membawa nama Neelofa semata-mata sebaliknya nama keluarga dan nama produk lain yang saya wakili.

“Sudah enam bulan saya bersama dengan Avon. Dalam tempoh itu juga saya telah menjelajah ke seluruh negara bersama dengan mereka. Dari segi layanan dan kemesraan itu yang membuatkan saya selesa.

“Bila pihak Avon mahupun produk-produk lain memberikan kerjasama yang baik, rasanya sudah menjadi tugas saya pula untuk membantu mereka melariskan produk. Saya tidak mahu menjejaskan apa yang telah saya rasai selama ini. Jadi perjuangan untuk membersihkan nama itu untuk semua!” tegasnya.

Saat ditanya mengenai tawaran berlakon pula, jelas Neelofa dia banyak menerima tawaran sejak akhir-akhir ini.

Jelasnya, ramai yang mengharapkan dia dapat menyertai produksi mereka tetapi dia terpaksa memilih akibat kekangan waktu sebagai seorang pelajar juga.

“Alhamdulillah tawaran berlakon tak putus-putus saya terima sejak hari pertama bergelar anak seni. Ramai yang memberi semangat untuk saya lebih fokus dan memberikan yang terbaik dalam bidang ini.

“Kalau saya tidak berusaha untuk diri sendiri, siapa pula yang berjuang untuk kita?,” katanya

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...