Searching...
Saturday 2 June 2012
07:40 0

Harimau Malaya kurang menjadi


MESEJ cukup jelas diterima skuad bola sepak kebangsaan dalam usaha mempertahankan gelaran juara Piala Suzuki AFF pada November depan apabila sekadar seri tanpa jaringan dengan Filipina pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam malam tadi.

Meskipun menguasai sebahagian besar perlawanan, kegagalan jentera penyudah skuad kendalian Datuk K. Rajagobal menterjemahkan begitu banyak peluang terhidang dilihat sedikit meresahkan penyokong tempatan.

Malah, Filipina yang sekadar menurunkan dua pemain tempatan iaitu kapten, Emelio Caligdong dan Jason Abbot Sabio, manakala selebihnya pemain yang mendapat kerakyatan negara itu juga jelas memberikan kelebihan buat The Azkal yang beberapa kali berjaya melancarkan serangan berbahaya menerusi gandingan penyerang, Denis Wolf dan Paul Mulders.

Filipina terlebih dahulu mencemaskan lebih 20,000 penyokong tuan rumah apabila larian Stephen Markus Shahrock yang melepasi perangkap ofsaid berjaya dikekang penjaga gol negara, Mohd. Farizal Marlias seawal minit pertama.

Tersentak dengan asakan itu, Harimau Malaya yang kembali mengatur gerakan begitupun kecewa apabila tandukan Shahurain Abu Samah sedikit melewati palang gol pada minit kedua, manakala rembatan kaki kiri Safee Sali lima minit kemudian juga sedikit tersasar.

Kesilapan mudah Mulders yang gagal mengawal kemas bola di tengah padang juga nyaris dihukum Shahurain Abu Samah yang pantas menyambar peluang pada penghujung babak pertama, namun rembatan derasnya sekadar terkena tiang meskipun penjaga gol Filipina, Roland Richard Muller telah tertewas.

Peluang terbaik Harimau Malaya untuk memecah kebuntuan hadir menerusi kapten, Safiq Rahim sebaik bersambung babak kedua.

Begitupun, percubaan pertama Safiq melambung tinggi pada minit ke-46, manakala sepakan percumanya tiga minit kemudian juga sekadar melewati palang gol.

Harimau Malaya sekali lagi kecewa apabila percubaan Norshahrul Idlan Talaha gagal menepati sasaran pada minit ke-56 dan ke-69.

Percaturan Rajagobal yang membawa masuk beberapa pemain gantian seperti Ahmad Shakir Md. Ali, Azamuddin Mohd. Akil dan S. Chanturu pada pertengahan babak kedua juga gagal membuahkan hasil.

Sebaliknya, Filipina yang lebih banyak bertahan pada babak kedua nyaris mendahului menerusi percubaan Wolf yang terus ke dakapan Farizal pada minit ke-73.

Percubaan terakhir Chanturu yang melambung tinggi hasil hantaran Ahmad Shakir pada penghujung permainan juga cukup mengecewakan, sekali gus menyaksikan Harimau Malaya terpaksa berputih mata di gelanggang sendiri.

Untuk rekod, kedua-dua pasukan sekadar seri 1-1 di Stadium Memorial Rizal, Manila, Februari lalu.

Harimau Malaya akan berkunjung ke Stadium Jalan Besar berdepan Singapura pada 8 Jun ini sebelum kembali membuat perhitungan dengan lawan yang sama di Stadium Shah Alam empat hari kemudian.



0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...