Searching...
Sunday 1 July 2012
13:58 0

(EURO) Iniesta sumber inspirasi kami - Fabregas


KIEV, Ukraine - Cesc Fabregas enggan mendedahkan formasi yang bakal digunakan Sepanyol pada aksi final Euro 2012 menentang Itali di Stadium Olimpik awal pagi esok.

Bagaimanapun, pemain tengah skuad La Roja itu berkata, Andres Iniesta mampu menyuntik keyakinan rakan-rakan sepasukan untuk memenangi gelaran juara, sekali gus melakar sejarah baharu.

Pada kempen Euro 2008, Fabregas sekadar menjadi pembantu kepada penyerang utama, David Villa.

Dia diletakkan di belakang Fernando Torres dalam misi untuk membantu penyerang Chelsea itu menjaringkan gol kemenangan Sepanyol ketika menewaskan Jerman 1-0 pada final.

Ketiadaan David Villa pada kempen di Poland dan Ukraine kali ini telah membuka peluang kepada Fabregas dan Torres untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama skuad kendalian Vicente del Bosque.

Perebutan tempat semakin sengit selepas Alvaro Negredo telah disenaraikan di posisi penyerang tengah ketika aksi menentang Portugal di separuh akhir.

Bagaimanapun, kehebatan Fabregas ketika menyempurnakan sepakan terakhir penalti bagi menyingkirkan Itali pada saingan suku akhir empat tahun lalu memberikan kelebihan kepadanya untuk menjadi pilihan utama berbanding Torres, Negredo dan Fernando Llorente.

Bekas pemain Arsenal itu yakin del Bosque mempunyai strategi yang tersendiri untuk memilih pemain yang sesuai pada aksi menentang Itali nanti.

"Iniesta sentiasa menunjukkan kemajuan daripada satu perlawanan ke satu perlawanan yang lain.

"Iniesta menghadapi musim yang sukar bersama kelab kerana sering dihimpit masalah kecederaan.

"Namun, dia telah mempamerkan prestasi yang cemerlang dalam kariernya pada Euro kali ini, sekali gus memberi kesan yang besar kepada cara permainan kami.

"Dia sangat kreatif ketika membawa bola dan pasti akan melakukan hantaran-hantaran yang menarik pada final nanti.

"Jadi dia merupakan sumber inspirasi kami. Ketika sedang menghadapi perlawanan, Iniesta menjadi rujukan kami," kata Fabregas.

Untuk rekod, Fabregas menjadi pemain yang membantu Iniesta menjaringkan gol kemenangan Sepanyol ketika menewaskan Belanda pada final Piala Dunia 2010. - Agensi

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...