Searching...
Friday 18 May 2012
02:35 0

Tugas getir Di Matteo

DI MATTEO berjaya melaksanakan tugasnya dengan baik sejak menggantikan tempat Villas-Boas.


LONDON - Roberto Di Matteo mengakui pertemuan menentang Bayern Munich pada aksi final Liga Juara-Juara di Allianz Arena awal pagi Ahad ini merupakan tugas paling mencabar sepanjang karier bergelar pengurus.

Pengurus sementara Chelsea itu berkata, beliau kini berada dalam dilema untuk menurunkan kesebelasan terkuatnya ekoran kecederaan yang dialami beberapa tonggak utama The Blues.

Selepas 10 minggu mengambil alih tugas selaku pengendali Chelsea daripada Andre Villas-Boas, Di Matteo telah membuktikan kredibilitinya apabila berjaya memulihkan kembali reputasi Chelsea yang tercalar musim ini, termasuk kejayaan menewaskan Barcelona pada aksi separuh akhir Liga Juara-Juara bulan lalu.

Bagi Di Matteo, jika Chelsea dapat menumbangkan Bayern, ia bakal menjadi kejayaan terbesar beliau.

Bagi menghadapi Bayern, Di Matteo terpaksa melupakan khidmat kapten, John Terry dan Branislav Ivanovic yang digantung perlawanan serta perancang utama, Ramires dan Raul Meireles.

Di Matteo juga perlu menunggu laporan kecergasan dua tonggak pertahanan, Gary Cahill dan David Luiz yang masih belum pasti boleh diturunkan, selain pemain sayap, Florent Malouda.

"Dengan segala masalah yang kami hadapi ketika ini, ia telah membuatkan saya pening kepala," kata Di Matteo.

Meskipun berjaya membawa skuad The Blues menjulang Piala FA musim ini, termasuk layak untuk beraksi di pentas final Liga Juara-Juara, masa depan Di Matteo masih lagi mencetuskan tanda tanya.

Sehingga kini, pihak pengurusan Chelsea masih belum membuat keputusan sama ada Di Matteo kekal di Stamford Bridge atau sebaliknya.

"Saya sentiasa tenang menghadapi situasi itu. Saya hanya didorong dengan motivasi yang tinggi untuk melakukan sesuatu yang luar biasa buat kelab ini," katanya.

Ditanya adakah adil jika beliau tidak diberikan tugas selaku pengurus tetap Chelsea biarpun berjaya menjulang trofi Liga Juara-Juara musim ini, Di Matteo berkata:

"Saya sememangnya mahu melihat kelab ini merangkul kejuaraan Liga Juara-Juara.

"Jika itu berlaku, saya tumpang gembira dengan kejayaan para pemain.

"Kami telah bekerja keras untuk mencapai tahap kami hari ini dan kami telah cuba banyak kali untuk memenangi gelaran juara Liga Juara-Juara.

"Saya langsung tidak fikir mengenai diri saya. Ia merupakan perlawanan besar buat kelab ini dan kami perlu menggunakan segala pengalaman serta kualiti yang kami miliki untuk memenanginya." - AFP

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...